Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Arang ‘Briket’ Tembusi Pasaran Luar Negara

By 18 April 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Nik Faizul Nik Rahmat/Noor Farihah Mohamed Rahim

JELI, 18 Apr (Malaysiaaktif) – Siapa sangka, bermula dengan perniagaan memproses kayu mampu mencetuskan idea penghasilan arang blok atau ‘briket’ sebagai perniagaan kedua bagi pengusaha Kilang Papan Bumi Sdn. Bhd.

Pengusaha Mohd Rafi Rasedy Roslan, 43, berkata arang yang dihasilkan adalah bermutu tinggi kerana diperbuat daripada habuk kayu yang berkepadatan tinggi.

“Selain sifat arang ‘briket’ ini mempunyai ketahanan pembakaran yang tinggi dan boleh bertahan sehingga empat ke lima jam apabila digunakan,” katanya semalam.

Tambahnya, arang ‘briket’ ini boleh digunakan semula sekiranya tidak habis digunakan.

Menurut pengurus kilang Muhd Faiz Bin Fauzi, 30, harga pasaran bagi arang ‘briket’ adalah jauh lebih mahal dari harga arang biasa berikutan kualiti yang ditawarkan.

“Perniagaan arang ini sudah mula bertapak selama lebih 10 tahun dan produk keluaran kilang ini turut di eksport ke luar negara seperti Singapura, China, Hong Kong, Jepun dan Australia.

“Selain kualiti, proses pembuatan arang ini mengambil masa yang lebih lama iaitu selama seminggu bermula dengan proses pengeringan habuk kayu yang kemudian dimampatkan sebelum dibakar dalam acuan,” katanya.

Katanya lagi, serbuk kayu yang dimampatkan akan dibakar untuk kali kedua selama empat sehingga lima hari dengan suhu 650 darjah Celcius sebelum melalui proses penyejukkan dan dibungkus.

“Harga pasaran bagi arang ‘briket’ adalah RM3 sekilogram, walau bagaimanapun orang ramai boleh mendapatkan harga yang murah dengan membeli secara pukal dan terus di kilang,” katanya.

-ZS-

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda