Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

130 Tahun HSNI Sebagai Penggerak Kesihatan Batu Pahat

By 18 April 2024April 19th, 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 18 Apr (Malaysiaaktif) – Lebih 300 hadir bagi meraikan Majlis Ulangtahun 130 Tahun Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan Program Masyarakat Sihat 2024 di Dewan Orang Ramai Parit Raja, di sini hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr. Mohtar Pungut, berkata hospital ini bermula dengan sebuah bangunan di Simpang Rantai pada tahun 1894 dan berkembang pesat menempatkan dua blok bangunan di Jalan Korma, Batu Pahat.

“Hari ini Hospital Sultanah Nora Ismail mempunyai sebuah bangunan Blok B setinggi enam tingkat yang baru dibina dengan penambahan 220 katil lagi menjadikan jumlah keseluruhan 610 katil di hospital ini.

“HSNI juga mempunyai perkhidmatan 16 kepakaran klinikal dan 6 subkepakaran klinikal dan akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada penduduk Batu Pahat,” katanya.

Pada majlis ini juga seramai 20 orang pesakit terpilih untuk menerima sumbangan Program Masyarakat Sihat dari Ahli Lembaga Pelawat Hospital HSNI.

Salah seorang penerima, Mohd Sani Hassan, 65, berkata dia berasa gembira dan amat berterima kasih kepada pihak HSNI kerana memilih dirinya untuk menerima bantuan.

“Dengan sumbangan menerusi Program Masyarakat Sihat dapatlah meringankan beban tanggungan keluarga saya kerana ketika ini keadaan kesihatan saya kurang baik dan tidak mampu lagi untuk menyediakan keperluan buat keluarga,” katanya.

Turut hadir Pengarah Hospital Sultanah Nora Ismail Dr. Khursiah Daud dan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) HSNI Zainoor Juma’at.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda