Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/TH Sabah
LABUAN, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Bakal haji perlu mempersiapkan diri daripada aspek mental, kekuatan fizikal dan kefahaman yang jelas berhubung manasik haji yang bakal dilakukan.
Menurut Pengarah Tabung Haji (TH) Negeri Sabah Yusdi Nasip, jemaah haji akan merasakan cabaran ibadat haji yang sebenar-benarnya apabila jutaan umat Islam dari seluruh dunia akan berada di tempat yang sama.
“Tanamkan rasa kesyukuran dalam diri dan sentiasa bersabar atas segala kepayahan serta ketidakselesaan di samping pelbagai kekangan yang dikenakan sekarang.
“Para bakal haji perlu bersyukur dan berusaha sehabis baik melaksanakan ibadat haji kerana ia merupakan peluang sekali seumur hidup di samping banyakkan bersabar dan kawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mencacatkan ibadat haji,” katanya semasa merasmikan Kursus Khas Haji (KKH) Musim Haji 1445H/2024M Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di sini semalam.
Beliau turut berharap para bakal haji dapat mempraktikkan sebaik-baiknya semua yang telah dipelajari semasa menghadiri kursus-kursus haji yang dianjurkan TH.
“Tahniah kepada Pengurusan Tabung Haji yang sentiasa peka dan mengambil berat tentang kebajikan jemaah haji daripada pelbagai aspek, khususnya dalam soal ibadat.
“Bakal haji juga diingatkan untuk tidak meninggalkan senjata utama sebagai seorang Muslim dan mukmin iaitu sentiasa berdoa dan meletakkan pengharapan serta kebergantungan yang penuh kepada Allah SWT,” jelasnya.
Setakat semalam, seramai 75 orang bakal haji dari Labuan telah melepasi saringan kesihatan bagi Musim Haji 1445H/2024M.
-ZS-