Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Bengkel Pemerkasaan Pelancongan Negeri Johor Dilaksana Dua Kali Setahun

By 30 April 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Bengkel Pemerkasaan Pelancongan Negeri Johor melibatkan pemain industri pelancongan negeri Johor dilaksanakan dua kali setahun bagi memperkasakan sektor pelancongan negeri ini dari masa ke masa.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapan perasmian penutup program ini, di sini semalam, berkata menerusi bengkel ini banyak idea dapat digarap untuk menambah bilangan pelancong yang berkunjung ke Johor.

Antara peserta yang mengambil bahagian di Bengkel Pemerkasaan Pelancongan Negeri Johor.

“2026 telah dipilih sebagai Tahun Melawat Johor. Persiapan untuk tahun tersebut perlu dimulakan dari sekarang bagi menyambut ketibaan pelancong ke negeri ini kelak.

“Bengkel yang julung kalinya diadakan ini perlu diteruskan secara berkala bagi membolehkan kerajaan mendapat input terkini dari pakar-pakar dalam industri pelancongan,” katanya.

Pengumuman dua zon ekonomi iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Zon Kewangan Khas Forest City pastinya merancakkan lagi kedatangan pelancong ke Johor.

“Impian saya adalah negeri Johor perlu menjadi destinasi pelancongan yang terbaik di Malaysia dan pastinya yang mendapat manfaat dari kehadiran pelancong ini adalah Bangsa Johor,” ujarnya.

Onn Hafiz berucap merasmikan Majlis Penutup Bengkel Pemerkasaan Pelancongan Negeri Johor.

Terdahulu, seramai 90 peserta yang terdiri daripada pemain dan pemegang taruh industri pelancongan mengambil bahagian dalam Bengkel Pemerkasaan Pelancongan Negeri Johor selama dua hari dari 28 hingga 29 April 2024 yang diadakan di Hotel Four Points By Sheraton Desaru, dekat sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor Raven Kumar Krishnasamy,  Pengarah Tourism Johor Shahril Nizam Abdul Rahim, dan Pegawai Daerah Kota Tinggi Ahmad Nazir Mohd Nasir.

-ZS-

Tinggalkan komen anda