Laporan/foto: M Zakry Chan
MELAKA 3 Apr (Malaysiaaktif) – Bagi mengangkat budaya teknologi hijau di Melaka, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) sekali lagi akan menganjurkan Anugerah Hijau Melaka (AHM) sebagai inisiatif menggalakkan rakyat di negeri Melaka mempraktikkan amalan teknologi hijau.
AHM bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada agensi kerajaan, swasta atau komuniti melaksanakan amalan teknologi hijau untuk melindungi alam sekitar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka Ts. Mohd Hafizam Mustaffa, tahun ini empat kategori ditawarkan iaitu Pembudayaan Hijau, Projek Hijau, Inovasi Hijau dan Program Komuniti Hijau.
“Anugerah Hijau Melaka merupakan platform bagi menggalakkan lebih banyak inovasi dalam bidang kelestarian dengan menghasilkan solusi yang kreatif dan inovatif dalam menangani isu-isu alam sekitar serta platform jaringan untuk perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik yang dilaksanakan oleh individu, organisasi, syarikat dan komuniti.
“Turut diperkenalkan ‘Anugerah Most Valuable Partner’ yang akan diberikan kepada organisasi yang memberi sumbangan, komitmen dan kerjasama luar biasa dalam usaha ke arah kelestarian,” ujarnya ketika sidang media di Wisma Negeri, di sini semalam.
Katanya lagi, PTHM mengalu-alukan penyertaan sektor awam dan swasta serta komuniti yang sedang aktif melaksanakan inisiatif hijau di negeri Melaka.
-ZS-