Laporan/foto: Irina Abd Samad/Rahimah Rafiai
KUALA LUMPUR, 3 Apr (Malaysiaaktif) – Sebanyak 220,000 tiket bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk perjalanan Hari Raya Aidilfitri dan kesemua tiket untuk ke Pantai Timur telah habis dijual.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata ia menjadikannya berbaki hanya lebih kurang 100,000 tiket bas ekspres iaitu perjalanan ke utara dan selatan.
“Tahun ini sebanyak 218 bas tambahan setakat 29 Mac melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bagi menampung permintaan tiket yang tinggi sempena Hari Raya Aidilfitri 2024.
“Jumlah bas tambahan dijangka akan meningkat sehingga permohonan LPS ditutup pada 4.00 petang hari ini (Selasa). Sebanyak 256 bas tambahan telah diluluskan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada tahun lepas,” katanya.
Tambahnya, keselamatan penumpang adalah menjadi keutamaan dan memastikan bas-bas tambahan yang telah diluluskan disaring terlebih dahulu bagi memastikan bas yang digunakan mematuhi kriteria permohonan termasuk memiliki GPS.
Loke berkata demikian dalam siding media selepas meninjau operasi TBS sempena Hari Haya Aidilfitri Bersama Ketua Pengarah APAD Datuk Azlan Shah Al Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutiif Kumpulan Maju Holdings Datuk Roslan Sharif.
Dalam pada itu, Loke menyeru agar Sistem Tiket Online (OTA) bas ekspres yang masih belum melaksanakan sistem pelepasan menggunakan kod QR untuk melaksanakannya dengan kadar segera selari dengan aspirasi pendigitalan Kementerian Pengangkutan.
Katanya, 70 peratus pembelian tiket bas ekspres adalah menerusi dalam talian berbanding selebihnya menerusi kaunter di terminal.
Loke turut memaklumkan Terminal Bersepadu Gombak dijangka akan mula beroperasi pada bulan Jun ini dan akan mengadakan lawatan ke terminal berkenaan selepas Aidilfitri.
-ZS-