Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Jelajah Pendidikan Madani Elak Keciciran Kalangan Warga Orang Asli

By 23 April 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamad Firdaus Bin Abd Aziz (Gua Musang)

GUA MUSANG, 21 Apr (Malaysiaaktif) – Bagi mengurangkan masalah keciciran, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited dalam memastikan setiap pelajar orang asli khususnya di kawasan pedalaman mendapat akses kepada pendidikan menerusi penubuhan Projek Kelas Khas (Prokhas).

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Azman Adnan berkata program Jelajah Pendidikan Madani ini merupakan salah satu inisiatif KPM dalam memperkasakan taraf pendidikan luar bandar kepada masyarakat orang asli agar seiring pelajar di sekolah aliran perdana.

Program Prokhas ini adalah kesinambungan dari kejayaan Projek Prokhas Aring 5.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Azman Adnan bergambar bersama murid-murid Prokhas dari Kuala Koh

Program ini diteruskan selepas melihat keunikan dan keistimewaan di dalam tadbir urus di Sekolah Kebangsaan Aring 5 sebagai sekolah induk luar bandar yang tidak ada di mana-mana sekolah pedalaman di Malaysia.

“Sebahagian besar murid-murid yang terlibat di dalam program Prokhas di Kuala Koh adalah masyarakat setempat iaitu sekitar kawasan Perkampungan Orang Asli Kuala Koh yang berdekatan dengan Taman Negara Kuala Koh.

“Penglibatan secara terus dari pelbagai agensi amat membantu seperti Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Gua Musang, Pejabat Kesihatan, Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Gua Musang dan agensi lain yang turut serta bersama-sama menjayakan program ini,” katanya semasa berucap ketika perasmian Program Jelajah Pendidikan Madani di Perkampungan Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang.

Tok Batin Kuala Koh Inja Punai berkata warga orang asli Kuala Koh mengalu-alukan setiap program yang dilaksanakan di kampung dan kami menyambut baik setiap program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Saya juga berharap pihak berwajib dapat menaiktaraf prasarana dan infrastruktur di Kampung Kuala Koh,” katanya.

Pada masa sama, pihak KPM turut memberikan sumbangan televisyen kepada Sekolah Kebangsaan Aring untuk memudahkan akses digital program Prokhas dan beberapa sumbangan kelengkapan belajar kepada murid-murid warga orang asli.

Sumbangan televisyen kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Aring untuk program Prokhas

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Dan Latihan Vokasional Ts. Zahirudin Bin Mohammad, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara Hardian Bin Hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang Saharuddin Bin Abdullah, Tok Batin Kuala Koh Inja Bin Punai, pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia serta wakil-wakil ketua jabatan dari agensi terlibat.

-AA-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda