Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/SATIN
TELUK INTAN, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Lebih 2,000 pengunjung dari dalam dan luar daerah memenuhi Padang Speedy, di sini pada Sabtu bagi memeriahkan program Piknik Ramadan anjuran kali kesembilan oleh Sukarelawan Aspirasi Teluk Intan (SATIN).
Menurut pengarah program Nur Najihah Muhaimin, program tersebut merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh SATIN sejak 11 tahun lalu.
“Kami amat teruja melihat ramai pengunjung yang hadir menepati tema sambutan apabila menggayakan busana Melayu klasik sebagai tanda sokongan terhadap program ini.
“Selain penduduk tempatan, ada juga pengunjung datang dari luar daerah malah ada sebilangannya merupakan anak kelahiran Teluk Intan yang menetap di Lembah Klang turut tidak ketinggalan membawa keluarga berbuka puasa di padang ini,” ujarnya ketika ditemui.
Tambah Nur Najihah, penganjuran program ini adalah untuk merapatkan hubungan erat sesama komuniti dan beliau gembira mendapat kerjasama baik daripada rakan strategik seperti Majlis Perbandaran Teluk Intan, Hospital Teluk Intan, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Air Perak, Jabatan Penerangan dan beberapa agensi kerajaan serta syarikat swasta lain.
Bagi pengunjung Qaqa Sofea Ross, 30, dan adiknya Natasya Ross, 28, perasaan teruja amat dirasakan oleh mereka kerana mereka sekeluarga amat jarang berbuka puasa di luar.
“Ini merupakan kali pertama kami mengikuti program ini. Perasaan berada di sini memang seronok terutama apabila semua ahli keluarga bersetuju untuk mengenakan pakaian mengikut tema yang ditetapkan,” katanya.
-ZS-