
Laporan/foto: Muhammad Amizan Lokman/Senaying Ahud (Hulu Perak)
GERIK, 2 Apr (Malaysiaaktif) – Saat berbuka puasa menjadi detik indah buat penduduk Kampung Jong, Gerik apabila dapat bersama dengan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dalam satu majlis di Masjid Al-Amin, di sini semalam.
Bagi penduduk, Nik Faiz Faizal Nik Hassan, 31, dia berasa sangat teruja dengan kehadiran baginda yang mencemar duli berangkat berbuka puasa bersama rakyat di kampung ini.
“Majlis berbuka puasa bersama kerabat Diraja Perak merupakan acara tahunan di daerah Hulu Perak dan tahun ini kami penduduk Kampung Jong terpilih untuk berbuka puasa bersama Raja Muda Perak.
“Lebih istimewa, masjid kampung ini baru siap dibina. Pastinya majlis ini menjadi kenangan indah buat para jemaah,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Amin Mohamad Sobi Abdul Manaf bersyukur kerana majlis berjalan dengan lancar biarpun hujan lebat melanda kawasan berkenaan pada awal petang.
“Malah, kehadiran baginda berbuka puasa bersama penduduk menunjukkan bahawa baginda sangat dekat dengan rakyat,” katanya.
Dalam majlis sama, penduduk turut berkesempatan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak Datuk Salbiah Mohamed.
-AA-