Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Empat Anak Autisme: Amanah Berat yang Harus Dipikul

By 2 April 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamad Munir (Sarawak)

KUCHING, 2 Apr (Malaysiaaktif) – Memiliki anak merupakan impian bagi setiap bagi pasangan yang telah berkahwin, namun memiliki empat orang anak autisme sememangnya amanah berat yang harus dipikul.

Azri Brahim, 42, berkata beliau yang pada mulanya dalam fasa penafian seolah-olah tidak dapat menerima perkara tersebut berlaku lebih-lebih lagi apabila tidak mempunyai latar belakang ahli keluarga yang mempunyai masalah autisme.

“Boleh sedih tapi jangan lama-lama,” katanya.

Melihatkan perkembangan anak pertama yang perlahan berbanding anak- anak sebayanya, akhirnya Azri reda setelah mendapatkan nasihat dari rakan-rakan dan merujuk kepada pakar.

Keempat-empat anak Azri, Adam Muhammad Azri (10 tahun), Amar Mukhriz (9 tahun), Affan Muslim Azri (5 tahun) dan Amsyar Muaffa Azri (4 tahun) telah didiagnos Autism Spektrum Disorder (ASD) yang merupakan gangguan perkembangan otak yang berterusan dan kekal.

Menurut Azri, beliau juga mendapat sokongan dan dorongan dari keluarga untuk terus tidak berputus asa untuk memberikan pendidikan serta intervensi terbaik buat anak-anaknya.

Tambahnya, setiap seorang anaknya mempunyai kelebihan dan karakternya yang tersendiri.

“Anak pertama Adam, mempunyai daya ingatan yang baik, anak kedua dan ketiga boleh melukis karya dengan baik manakala anak yang keempat masih lagi dibentuk dengan bantuan intervensi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti,” katanya.

Melalui asas bantuan intervensi, anak-anaknya dapat diterapkan serta dibimbing dengan kemahiran hidup seharian.

Untuk rekod, tarikh 2 April pada setiap tahun adalah merupakan Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang autisme.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda