Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

PERKIM Dungun Agih Bubur Kacang Sempena Ramadan

By 2 April 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mahadi Mustafa (Dungun)

DUNGUN, 2 April (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Daerah Dungun dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tok Kah, KRT Sungai Penaga dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Penaga mengambil kesempatan memasak bubur kacang sempena Ramadan untuk diedarkan kepada orang ramai, semalam.

Sebanyak 4 periuk bubur kacang disediakan seawal jam 7 pagi secara gotong-royong di perkarangan Surau Pak Cu Ya, Kampung Tok Kah.

Pengerusi PERKIM Cawangan Daerah Dungun, Raja Ibrahim Raja Manis, 56 berkata, aktiviti memasak bubur kacang merupakan program julung kali diadakan bersempena Ramadan pada tahun ini dan akan dijadikan aktiviti tahunan PERKIM Cawangan Daerah Dungun.

“Sasaran pengagihan bubur kacang adalah sebanyak 600 bekas melibatkan beberapa buah sekolah, masyarakat sekitar, jabatan serta agensi kerajaan. Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama kepada KRT Tok Kah yang menyumbang tenaga bagi menjayakan program ini.

“Bersempena bulan Ramadan, aktiviti ini amat baik dalam usaha mengeratkan silaturahim antara badan bukan kerajaan, kakitangan awam, para pelajar dan komuniti setempat serta memupuk sifat kasih sayang, hormat-menghormati dan semangat kerjasama. Timbul keinsafan dalam diri apabila melihat kesusahan mereka yang kurang bernasib baik dan besar harapan kami agar usaha ini memberi kegembiraan kepada insan-insan ini,” ujarnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda