Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Yayasan Ikram Malaysia Sumbang RM5,000 untuk Pelajar PUO

By 2 April 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/PUO

IPOH, 2 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 50 pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) dari pelbagai jabatan pengajian menerima sumbangan kewangan daripada Yayasan Ikram Malaysia (IKRAM), di sini semalam.

IKRAM melalui program khasnya, Sumbangan Prihatin Ramadan 1445 Hijrah telah menyumbang sebanyak RM5,000 sebagai usaha membantu menampung perbelanjaan para pelajar khususnya untuk sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.

PUO dalam satu kenyataan, berkata ini merupakan tahun kedua sumbangan seumpama ini disampaikan pihak IKRAM kepada warga PUO sejak pemberian pertama tahun lepas.

“Sumbangan Prihatin Ramadan 1445 Hijrah merupakan hasil usaha sama Yayasan IKRAM Malaysia dan Pertubuhan IKRAM Malaysia kawasan Ipoh.

“Penerima terpilih menerima sebanyak RM100 seorang dengan sumbangan disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua IKRAM Ipoh Ir. Megat Shariffudin Ibrahim,” menurut kenyataan itu.

Selain sumbangan ini, Pertubuhan Amal Kebajikan Insan (PAKis) dengan hasil usaha sama pensyarah Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) PUO turut membuat sumbangan kepada pelajarnya.

Sumbangan dari pihak PAKis dan warga JMSK ini disampaikan oleh Pengarah PUO Dr. Shamsuri Abdullah.

Untuk rekod, Yayasan Ikram Malaysia diperbadankan pada 31 Oktober 2011 mengikut Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) di bawah Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri dan beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2019.

-ZS-

Tinggalkan komen anda