Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

175 Pokok Dikenal Pasti Berisiko Tinggi – DBKL

By 18 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/DBKL (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sedang menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu dengan memfokuskan kepada pokok berusia dan berisiko tinggi di sekitar ibu kota.

DBKL turut menzahirkan dukacita dan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terkesan dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail pada Selasa lalu.

DBKL hari ini memaklumkan dalam satu kenyataan, garis panduan itu dijangka siap pada bulan Julai ini dan sehingga kini sebanyak 175 pokok yang telah dikenal pasti berisiko tinggi di mana sebahagian besarnya berusia melebihi 50 tahun dengan 147 daripadanya telah ditebang.

“DBKL menerusi kontraktor yang dilantik telah menjalankan kerja-kerja pemeriksaan pokok-pokok yang berusia lebih 30 tahun dan yang mempunyai ukur lilit melebihi 1.5 meter di Kuala Lumpur sejak tahun 2019.

“Pemeriksaan berkala telah dilaksanakan arboris bertauliah dan pemeriksaan terakhir adalah pada Februari lalu di mana 28 pokok telah dikenal pasti akan ditebang dalam tempoh terdekat,” menurut kenyataan itu.

Menurut DBKL, pokok berisiko merujuk kepada pokok yang berpotensi tinggi untuk mengalami kegagalan struktur dan tumbang dan ianya dikenal pasti melalui penggunaan ‘resistograph’, ‘picus tomograph’ atau penilaian visual bagi mengesan kecacatan pada pokok seperti dahan atau akar yang rosak atau reput, struktur pokok yang condong atau tidak seimbang dan rekahan pada dahan dan pangkal pokok.

Menurut DBKL penilaian risiko pokok mempunyai tiga tahap dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak.

“Penilaian risiko pokok mempunyai tiga tahap dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak.

“Sekiranya keadaan fizikal pokok tidak memuaskan, penilaian lanjut akan dilakukan dan seterusnya tindakan mitigasi seperti cantasan, rawatan akar atau penebangan akan diambil,” jelas DBKL.

Dalam pada itu, DBKL turut menzahirkan dukacita dan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terkesan dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Selasa lalu.

Bagi mangsa-mangsa yang terlibat, DBKL akan membantu untuk memudah cara apa-apa tuntutan kepada pihak yang sewajarnya dengan menghubungi talian 03-2617 9509 (Jabatan Kewangan) atau 03-2617 9236 (Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan).

-ZS-

Tinggalkan komen anda