Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Graduan Gigih Ternak Lembu Sado

By 21 Mei 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maznah Ngah/Shuhaimi Ahmad (Marang)

MARANG, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Menyedari masalah kekurangan bekalan lembu di negara ini, graduan pengajian pembuatan dari sebuah kolej universiti tempatan, nekad untuk berhenti kerja makan gaji tiga tahun yang lalu dan mengusahakan ternakan lembu fidlot secara komersil.

Melalui pembacaan di media massa, Aiman Asyraf Kamarudin, 33, mendapat maklumat bahawa penternak tempatan hanya mampu membekalkan kira-kira 30 peratus sahaja daripada keperluan bekalan daging tempatan manakala selebihnya diimport dari pelbagai negara.

Justeru itu, hasil dorongan keluarga beliau nekad berhenti kerja sebagai penyelia projek di sebuah syarikat di Kuantan, lalu mengusahakan ternakan lembu di Kampung Tok Fakir, Merchang, Marang.

AIDEN Cattle Farm yang diasaskan oleh Aiman dan tiga adiknya kira-kira tiga tahun lalu kini memiliki lapan ekor lembu sado dari baka Charolais dan Limosine serta 25 ekor lembu baka Brahman yang ditempatkan di kandangnya.

“Saya dan adik-adik merancang untuk mengeksport produk kami ke beberapa negara, termasuk Singapura dan Brunei Darussalam. Insya-Allah usaha murni kami untuk membekalkan daging segar secara patuh syariah akan tercapai dalam masa terdekat,” ujarnya ketika ditemui di kandangnya di sini, kelmarin.

Antara keistimewaan ternakan yang dibela di AIDEN Cattle Farm ialah diet ternakan di sini tidak hanya terhad kepada pallet semata-mata tetapi ia juga turut ‘dihidangkan’ dengan jagung yang dihancurkan, rumput segar dan silaj.

Antara diet ternakan di AIDEN Cattle Farm adalah rumput segar

“Alhamdulillah maklum balas daripada peserta korban yang menyertai progam pakej ibadah korban bersama AIDEN Cattle Farm, daging korban tersebut tidak berlemak, padat dan lembut,” katanya.

Anak muda gigih yang berasal dari Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu itu berkata, kini AIDEN Cattle Farm telah menjadi antara pembekal lembu korban di negeri ini.

Mereka menjual lembu korban setiap kali musim perayaan Aidiladha serta mengadakan pakej ibadah korban secara bahagian bagi kemudahan penduduk tempatan yang terdiri daripada baka Brahman dan Charolais.

“Berbanding lembu lain, lembu sado ini perlukan lebih perhatian dan suka di manjakan,” katanya sambil menjelaskan bahawa setiap aktiviti dan rutin harian di AIDEN Cattle Farm boleh diikuti melalui Tik Tok @aidencattlefarm dan juga Facebook.

Aiman bertindak sebagai Pengurus Projek dan dibantu oleh tiga adiknya yang mengendalikan urusan pentadbiran syarikat, kewangan dan pemasaran. Kini terdapat seorang pekerja tetap dan dua pekerja sambilan yang membantu melakukan kerja-kerja rutin memberi makanan ternakan dan membersih kandang setiap hari.

Adik perempuan tunggal Aiman, Nur Syahirah Sufiah dan suaminya Mohd Nor Haziq Tapsir membantu pengurusan operasi keseluruhan syarikat tersebut.

Kegigihan Aiman mengusahakan projek lembu sado mendapat pengiktirafan pihak berkuasa apabila AIDEN Cattle Farm dipilih sebagai ‘Kandang Bimbingan’ Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu.

Cargo (kiri) dan Aiden antara lembu baka Charolais yang sering menjadi tarikan pengunjung

“Melalui program ini, jabatan berkenaan sentiasa memantau kandang, menyediakan khidmat nasihat serta pengurusan dan menghulurkan bantuan keperluan industri ternakan dari semasa ke semasa.

“Saya sentiasa mengikuti kursus-kursus bidang penternakan yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menambah pengetahuan di bidang ternakan,” ujarnya.

Beliau amat bersyukur kerana Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Marang juga turut membantu memberi khidmat nasihat kepada beliau untuk mengendalikan ternakan secara lebih teratur.

Aiman berkata, beliau memilih untuk memelihara lembu secara fidlot berbanding kaedah integrasi kerana lembu-lembu yang ditempatkan di kandang sepanjang masa mudah dikawal dan tidak memakan tanaman penduduk kampung.

“Lembu fidlot ini lebih sesuai dibuat korban kerana tidak makan tanaman orang dan ia tidak juga membuang najis di merata-rata tempat seperti kebanyakan lembu yang diternak dan dilepaskan berkeliaran di kawasan kampung,” katanya.

Menurut Aiman, kelebihan menyertai pakej ibadah korban bersama AIDEN Cattle Farm ialah pasukan korban mereka turut menyediakan perkhidmatan agihan daging kepada asnaf fakir dan miskin.

-AA-

Tinggalkan komen anda