Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Pesta Kaamatan Lubuk Rezeki Pengusaha Kraftangan Tempatan Sabah

By 2 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Sabah)

RANAU, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan merupakan acara yang paling dinanti-nantikan oleh penggiat kraftangan untuk meningkatkan pendapatan mereka sepanjang pesta menuai itu berlangsung.

Di mana sahaja penganjurannya, tapak Pesta Kaamatan di peringkat daerah atau negeri menjadi lubuk rezeki buat usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang menjual hasil kraftangan seperti perhiasan manik, pakaian tradisional dan pelbagai aksesori terutama etnik Kadazandusun dan Murut.

Sainis menyusun produk kraftangan di khemah jualannya semasa Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di perkarangan Dewan Masyarakat Ranau.

Pengusaha kraftangan Sainis Jomom, 45, berkata beliau sudah terlibat dalam industri kreatif ini selama 10 tahun dan sejak itu sering terlibat sebagai pempamer atau usahawan yang memeriahkan tapak niaga Pesta Kaamatan dengan produk tempatan.

“Saya telah mendaftar di bawah Kraftangan Malaysia, dan menjual produk kraftangan seperti rantai manik yang sebenarnya dihasilkan oleh komuniti kraftangan di Kampung Tinangol, daerah Kudat yang kemudian kami akan bantu jual di setiap acara Pesta Kaamatan.

“Memang setiap kali Kaamatan, hasil jualan kraftangan akan lebih baik kerana ramai pengunjung datang untuk menyaksikan acara ini termasuk pelancong luar negara, memang pesta ini adalah lubuk rezeki buat kami para peniaga,” katanya ketika ditemui semasa Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Ranau di sini pada Rabu.

Sementara itu, pengusaha kraftangan Simlin Besiau, 60, memberitahu beliau telah menceburi bidang jahitan sejak tahun 1987 dan masih aktif menjalankan perniagaan fesyen bercirikan tradisional terutama menjelang perayaan Kaamatan.

Simlin turut dibantu anaknya menjual produk kraftangan dalam masa yang sama menunjukkan cara pembuatan rantai daripada bahan manik tempatan.

“Bila tiba Kaamatan, tempahan untuk pakaian tradisional akan lebih banyak dari kebiasaannya dan saya juga ada kedai fizikal di Pasar Besar Ranau, saya kini menjual pelbagai pakaian tradisional etnik antaranya dari daerah Ranau, Kota Belud, Penampang dan etnik-etnik yang lain.

“Setiap kali Pesta Kaamatan saya akan ikut serta sebagai peniaga, memang ramai pelanggan akan datang membeli pakaian tradisi, pendapatan pun akan lebih baik daripada hari-hari biasa sebab kami pun ada membuat Sigar, aksesori baju Kadazandusun dan ada antaranya diambil dari pembekal sedia ada,” katanya.

Untuk makluman, Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah tahun 2024 di Ranau berjaya menarik perhatian sekitar 10,000 pengunjung ke daerah tersebut sepanjang penganjurannya dan telah dirasmikan oleh wakil Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan pada Rabu.

Acara kemuncak Pesta Kaamatan akan berlangsung di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Penampang pada 31 Mei nanti dimeriahkan dengan beberapa pengisian antaranya Pertandingan Unduk Ngadau (ratu cantik) dan Sugandoi (pertandingan nyanyian).

-ZS-

Tinggalkan komen anda