Laporan/foto: Fikri Johari (LMS)
TAIPING, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Treacher Methodist (TMGS) menjadi sekolah pertama di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) yang berjaya mengusahakan pertanian moden iaitu secara akuaponik di sekolah.
Akuaponik adalah satu kaedah pertanian pintar yang menggabungkan tanaman tanpa tanah (hidroponik) dan ternakan ikan (akuakultur) dalam satu kawasan.
Pengetuanya, Roslina Abu Bakar berkata, idea bagi menjayakan konsep pertanian ini dicetuskan oleh penyelaras Kelab Alam Sekitar sekolah itu bagi mengadaptasikan gabungan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Alam Sekitar yang mampu menjadi sumber ilmu kepada pelajar dan diterapkan dalam pembelajaran.
“Akuaponik yang kami usahakan adalah berkonsepkan tanaman padi hijau di bahagian atas manakala ternakan ikan sepat dan ikan puyu di bahagian bawah.
“Padi yang digunakan adalah jenis MR27 yang mana ia berpotensi untuk menghasilkan tuaian yang baik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sanjungan Budi dan Menuai Padi, di sini pagi tadi.
Tambahnya, tanaman padi dan ternakan ikan yang diusahakan di sekolah mendatangkan hasil dan berjaya dilaksanakan dalam tempoh masa yang tertentu.
“Usaha yang kami lakukan ini juga mendapat sumbangan dana sebanyak RM500 daripada pihak Universiti Sains Malaysia (USM),” ujarnya.
-ZS-