
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Sabah)
RANAU, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Percampuran budaya, adat dan seni warisan dalam masyarakat menjadi perkara pokok bagi Persatuan Kebudayaan Etnik Dusun Ranau (PKEDR) untuk mewujudkan satu platform khas sebagai rujukan asas motif etnik tersebut.
Dengan kerjasama penggiat fesyen tempatan, Id Tinungkusan Collections dan pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS), PKEDR telah mengenal pasti sepuluh motif daripada etnik Dusun di Ranau untuk dijadikan rujukan alternatif penghasilan rekaan busana tradisi.

Kereen bersama koleksi pakaian kontemporari seperti gaun dan pakaian pengantin perempuan yang dihasilkan dengan motif etnik Dusun terpilih.
Pengerusi PKEDR Kereen Domi, 56, berkata bagi menjayakan usaha itu, pihaknya akan menggunakan kepakaran dan sumber penyelidikan UMS untuk mengembangkan usaha tersebut melalui Program Kelestarian Libatsama Masyarakat.
“Tujuan dia supaya selain daripada baju tradisional yang asli, kita mewujudkan rujukan alternatif iaitu sepuluh motif etnik yang telah dikaji dan sekarang usaha ini telah mendapat perhatian daripada pihak luar termasuk UMS.
“Sebagai contoh motif Pinosorut ini sebenarnya dipakai oleh etnik Talantang begitu juga Linakit Talantang dipakai etnik Talantang, manakala motif dalai dipakai oleh Bundu, jadi semua motif ada pemilik etniknya,” katanya ketika ditemui semasa pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, di sini pada Rabu.
Jelas Kereen, selain melestarikan seni warisan etnik Dusun, usaha tersebut memainkan peranan penting bagi memastikan generasi akan datang mempunyai sumber rujukan yang tepat dalam penghasilan motif tradisional di samping mengembangkan industri tekstil sekaligus menjulang karya anak-anak Sabah.

Seorang kakitangan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Ranau yang menggunakan baju batik yang dihasilkan menggunakan kain meter yang dicetak menggunakan motif Tinutub etnik Dusun.
“Ini sebabnya kita memerlukan penglibatan pihak UMS, mereka mungkin dapat membuat kajian dengan lebih sistematik kemudian hasilnya dibukukan agar perkongsiaan seni warisan ini lebih teratur jika dihebahkan melalui media sosial untuk pengetahuan generasi akan datang.
“Sekarang industri tekstil kita semakin berkembang, maka ini peluang untuk kita mengadaptasi motif etnik Dusun ini dalam pakaian rakyat Malaysia terutama melalui rekaan baju batik dan kita sudah gunakan motif Tinutub untuk pakaian rasmi kakitangan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Ranau,” ujarnya.
Untuk makluman, sepuluh motif etnik Dusun Ranau yang telah dikenal pasti oleh pihak PKEDR ialah motif Sinusuk Soko, Dalai, Linangkit Talantang, Tinutub Poinaru, Worik Aatur Bianing, Tinagas, Tinubau, Tinutub, Binorokilong dan Poinosorut.
-ZS-