
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Sambutan Aidilfitri Komuniti MADANI Kampung KEDA Asam Jawa kelmarin meriah dengan tradisi bergotong-royong yang masih diamalkan setiap kali menjelang hari raya.

Antara pengunjung yang hadir memeriahkan majlis.
Penduduk kampung mulai berhimpun di perkarangan Dewan Lestari seawal pukul 8.00 pagi dalam majlis yang dimulai dengan acara gotong-royong menyediakan hidangan, pertandingan mewarna kanak-kanak serta majlis tahlil dan doa selamat sebelum jamuan makan bermula pada pukul 12 tengahari.
Menurut Penyelaras Kampung KEDA Asam Jawa Nur Izzatul Syiffa Shamshuri, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Daerah Pendang berpuas hati dengan sambutan Aidilfitri yang diadakan.

Pertandingan mewarna kanak-kanak bertemakan hari raya turut diadakan bagi memeriahkan majlis.
“Kampung KEDA Asam Jawa terletak agak jauh di pedalaman namun kekuatan silaturahim di antara penduduk kampung tersebut dan penduduk kampung di kawasan sekitarnya sangat baik hingga dapat menganjurkan majlis sambutan yang cukup meriah.
“KEDA tidak hanya dipertanggungjawabkan dalam pelbagai aspek pembangunan sosioekonomi dan pembasmian kemiskinan malahan melestarikan keseimbangan pembangunan fizikal antara bandar dan luar bandar,” jelasnya.
Selain dihadiri oleh penduduk kampung dari pelbagai lapisan umur, majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu-tetamu jemputan daripada jabatan kerajaan dan agensi swasta sekitar Daerah Pendang antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sawa Kechil.
-ZS-