Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

Teruja Temani Ibu Tunai Haji

By 12 Mei 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Seorang bakal haji Muassasah dari Labuan merasa teruja apabila berpeluang membantu ibunya menunaikan ibadah haji bagi tahun ini.

Menurut Zulkifli Dehek, 32, beliau merasa sangat bersyukur dan gembira berkesempatan menunaikan haji di samping menemani ibunya yang sudah berusia 71 tahun.

Zulkifli (kiri) berharap fizikal dan mentalnya cukup kuat untuk menunaikan haji bersama ibu.

“Saya merasa cukup teruja dan gembira dapat menemani ibu saya namun kami perlu bersedia dari segi mental dan fizikal bagi melakukan ibadah haji bersama seperti melakukan tawaf dan sebagainya.

“Kami perlu saling memahami bagi menempuhi cabaran yang menunggu di sana dan saya juga memberi dorongan untuk ibu melakukan lebih banyak senaman agar ibadah haji kami dapat dilaksanakan dengan lebih baik,” katanya yang ditemui selepas Majlis Sumbangan Wang Tunai Kepada Bakal Jemaah Haji Muasassah Labuan, Tahun 1445h/2024M, di sini semalam.

Zulkifli berharap mereka dapat melaksanakan ibadah haji dengan lancar dan memperoleh haji yang mabrur.

Danish gembira menerima bantuan wang tunai daripada Jabatan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, seorang bakal haji turut berkongsi keterujaan dapat menunaikan ibadah haji pada usia yang muda.

Muhammad Danish Rifqi Sanif, 12, bersyukur kerana tidak ramai yang berpeluang menunaikan ibadah haji seawal usia begitu.

“Saya harap saya boleh belajar banyak ke arah Islam dan menjadi seorang muslim yang hebat selain dapat membantu orang lain semasa haji kerana keadaan fizikal serta kesihatan saya yang baik,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda