Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

SUKMA XXI: Sarawak Menyasarkan Tiga Pingat Emas dari Acara Memanah

By 19 Ogos 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Kasmini Hasbi/Rosnani (Sarawak)

KUCHING, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Kontinjen memanah Sarawak menyasarkan sebanyak tiga pingat emas dari acara memanah dalam kejohanan kali ini selain tumpuan utama pasukan bumi kenyalang adalah untuk mengharumkan nama Sarawak.

Acara memanah di Sukan Malaysia, SUKMA XXI 2024 telah bermula semalam dan akan berlangsung selama enam hari dari 18 hingga 23 Ogos, di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya.

Aira Nadirah turut menyumbang kutipan pingat gangsa dalam acara Compound 50 meter – Wanita.

Seramai 128 pemanah akan bersaing dalam 14 acara untuk merebut gelaran pemanah terbaik negara dan sebanyak dua kategori dipertandingkan secara individu dan berkumpulan iaitu recurve dan compound.

Menurut Pengurus Pasukan Memanah Kontinjen Sarawak Halim Mohamad, laluan untuk mendapatkan emas tidak akan begitu mudah memandangkan saingan yang hebat daripada atlet kontinjen negeri lain yang pastinya akan memberikan persembahan yang terbaik.

Beliau yang ditemu bual semasa pusingan kelayakan pagi semalam mengatakan, pasukan memanah Sarawak telah menjalani latihan dengan komited dan bersedia secara mental dan fizikal.

“Kami telah berusaha membentuk skuad terbaik sejak enam bulan lalu. Ada yang masuk dan ada yang keluar, tetapi akhirnya satu pasukan terbaik telah berjaya dibentuk untuk mewakili Sarawak,” ujarnya.

Keadaan basah di Lapangan Sasar Memanah selepas hujan petang semalam tidak mengganggu perjalanan acara memanah.

Menurut Halim Mohamad lagi, untuk tujuan itu pasukan Sarawak bukan sahaja berlatih di dalam negeri tetapi juga turut mendapat latihan pendedahan di negeri lain bagi meningkatkan keyakinan menjelang SUKMA XXI.

Halim, berkata untuk pusingan kelayakan, pasukan Sarawak tidak menyasarkan sebarang pingat tetapi kejayaan Aira Nadirah Aizuddin menduduki tempat ketiga dalam acara Compound 50 meter pagi tadi merupakan satu bonus untuk Bumi Kenyalang.

“Kalau diikutkan, perbezaan mata di antara atlet kita dengan tempat kedua sangat dekat dengan perbezaan satu mata sahaja. Kita hampir-hampir mendapat pingat perak, tetapi mengambil kira kelebihan lain yang ada pada pihak lawan, kita tetap bersyukur dengan pingat gangsa,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, setakat ini beliau berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya. Walaubagaima pun, beliau mengingatkan mereka agar lebih berwaspada dengan cabaran atlet negeri lain yang sukar dijangkakan.

“Prestasi peserta di padang juga boleh dipengaruhi oleh faktor cuaca kerana pagi tadi apabila hujan mula turun dan berangin, sedikit sebanyak ia mengganggu fokus dan persembahan atlit. Sebab itulah kekuatan mental juga amat penting kerana cabaran boleh datang dalam pelbagai bentuk,” tegasnya.

Lewat petang semalam, Joey Tan Xing Lei menghadiahkan pingat emas untuk Sarawak dengan mengalahkan Nur Leka Hariesya dari Selangor dan Alia Qursyiah dari Wilayah Persekutuan dalam acara Recurve 70 meter – Wanita.

Sementara itu, untuk acara Recurve 70 meter – lelaki pula, Sarawak berjaya meraih pingat gangsa menerusi pemanah Liew Yu Jie, sementara emas dan perak di bawa pulang oleh kontinjen Terengganu dan Pahang.

Dalam acara Compound 50 meter – Lelaki dan Compound 50 meter – Wanita yang diadakan pada sebelah pagi, atlet Wilayah Persekutuan, Afiq Zufar dan Nurul Syaza Husna dari Terengganu berjaya memecahkan rekod SUKMA dan merangkul pingat emas untuk negeri masing-masing.

Pingat perak dan gangsa pula telah dimenangi oleh Muhammad Aiman (Terengganu) dan Abdul Faathir Aqil (Perak). Untuk kategori wanita pula, pingat perak dimenangi oleh Hadira dari Wilayah persekutuan manakala Aira Nadirah menghadiahkan Sarawak sebutir pingat gangsa.

-ZS-

Tinggalkan komen anda