Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

‘Layar Ardeidae’ milik PKD Hilir Perak Muncul Johan Perarakan Bot Berhias

By 30 September 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/PDT Hilir Perak

TELUK INTAN, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Layar Ardeidae bot berhias mewakili Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak muncul johan Perarakan Bot Berhias Perak Sejahtera 2030 bagi menebus kekalahan yang dialami pada pertandingan sama tahun lalu.

Pegawai Perubatan Epidemiologi Dr. Mohamad Firdaus, berkata beliau bersyukur dan bangga apabila bot yang diberi nama Layar Ardeidae milik PKD Hilir Perak itu berjaya merangkul gelaran johan pada perarakan anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak yang diadakan di Dataran JPS Kampung Terengganu, di sini pada Sabtu.

“Kemenangan ini bukan sekadar kemenangan biasa tetapi merupakan simbolik kepada usaha gigih dan komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh seluruh anggota dan petugas yang telah bekerja keras siang dan malam untuk memastikan kejayaan ini tercapai,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Pemilik Bot Rumah Perak bersiap sedia sebelum berarak.

Menurutnya yang juga merupakan ketua pasukan bot berhias ini, nama ‘Layar Ardeidae’ diinspirasikan daripada nama saintifik bagi keluarga burung bangau iaitu ardeidae yang sering dilihat di kawasan sekitar Teluk Intan.

“Selain itu, kapal ini turut memberi penghormatan kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan Malaysia dan menampilkan bangunan ikonik Menara Condong sebagai simbol keunikan dan kebanggaan penduduk di daerah ini,” tambahnya.

Kemenangan PKD Hilir Perak melayakkan mereka membawa pulang hadiah utama bagi kategori jabatan, agensi, syarikat dan persatuan berupa wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan.

Naib johan dimenangi oleh Pejabat Pendidikan Daerah (RM2,000) diikuti tempat ketiga iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah (RM1,000).

Bot Rumah Perak (Rahmat Surat) pula menjuarai kategori terbuka bagi bot bersaiz 17 kaki ke atas dan menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan diikuti Bot Man Udang (RM2,000) dan Bot Intan (RM1,000) di tempat ketiga.

Orang ramai berkumpul di jeti untuk melihat bot berhias yang menyertai perarakan.

Bagi kategori terbuka bot bersaiz 16 kaki ke bawah, Bot Amat Safari (Anizam) diumumkan sebagai johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 sementara naib johan dimenangi oleh Bot Ariffin (RM1,000).

Sementara itu, pengunjung Haji Mohamad Din Hussein berkata program ini sangat sesuai untuk dimasukkan dalam acara kalendar tahunan bagi daerah Hilir Perak sebagai daya tarikan pelancong ke Teluk Intan, bandar yang dikelilingi oleh aliran sungai.

“Saya cadangkan pengisian program dipelbagaikan pada masa akan datang bagi menarik lebih ramai penglibatan penduduk dan kehadiran orang ramai dari luar daerah,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda