Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

RISDA Lestarikan Pekebun Kecil Getah

By 30 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Husney Hamid/Muhammad Fakhri Md Nor (Manjung)

BERUAS, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah menjadi agensi peneraju yang berdaya maju untuk kemajuan pekebun kecil sejak tahun 1973.

Penolong Pegawai Pertanian RISDA Daerah Manjung Razak Mohamed, berkata stigma masyarakat yang menganggap pekebun kecil adalah golongan miskin dan tidak mampu untuk hidup selesa perlu dihapuskan sama sekali kerana RISDA akan bersama dengan keluarga ini pada setiap tahap kehidupan mereka.

Pertandingan mewarna turut diadakan bagi memeriahkan sambutan program.

“Apa yang diperlukan adalah pekebun kecil terus berhubung dengan pihak RISDA yang sentiasa akan membantu dan tidak pernah jemu berusaha membawa kelestarian kepada mereka,” katanya ketika berucap di hadapan 70 pekebun kecil getah pada program Gerakan Kelestarian Komoditi Getah Pekebun Kecil (GKKG) di Arena Square, Kampung Tualang, di sini kelmarin.

Menurut Razak, pelbagai insentif yang ditawarkan termasuk program penanaman semula pokok getah, pemasaran produktiviti, pembangunan usahawan berkaitan, malahan bantuan musim tengkujuh sebanyak RM800 juga disediakan.

“Bantuan khairat kematian sebanyak RM2000 juga disumbangkan kepada keluarga pekebun kecil getah bagi meringankan beban keluarga sekiranya berlaku kematian.

Majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan ‘teka jumlah biji getah’.

“Usaha ini menunjukkan keseriusan kerajaan untuk terus memartabatkan kehidupan golongan pekebun kecil dan dalam masa sama memastikan industri getah terus berpotensi menjadi penyumbang terbesar ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, pekebun kecil Tuah Bistani, 63, mengakui RISDA banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar kepadanya ketika awal proses penamanan getah.

“Saya akan terus berhubung dengan RISDA bagi memastikan tahap kehidupan keluarga terus ditambah baik sehingga generasi akan datang,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda