Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Enam buah keluarga yang terkesan akibat banjir dan ribut yang berlaku di daerah ini baru-baru ini menerima sumbangan di Pejabat Daerah dan Tanah Pendang, di sini semalam.
Sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan empat agensi termasuk Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di mana Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) telah memperuntukkan 3/8 dari wakalah zakat perniagaan sebanyak RM37,700 bagi kos memperbaiki bumbung rumah.
Manakala pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Kedah dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara menyumbang dari sudut tenaga dan kepakaran.
Pegawai Daerah Pendang Nasrun Datuk Mohd Sheriff berharap agar bantuan yang diberikan dapat memberikan keselesaan kepada semua mangsa yang terlibat dalam menjalani kehidupan seharian mereka.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah berkolaborasi dalam melaksanakan bantuan pembaikan rumah yang mengalami kerosakan akibat banjir dan ribut taufan yang lalu,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SADA Radzuan Osman, Penolong Ketua Pegawai Operasi Agihan LZNK Ustaz Yusof Ahmad dan Pengarah CIDB Kedah Muhammad Fariq Abdul Hamid.
-ZS-