Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Teknologi Dron Perkasa Kemahiran Generasi Muda

By 3 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Sabah melalui inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) giat melaksanakan pelan tindakan dron yang menyeluruh, dengan memberi fokus kepada pendedahan awal teknologi ini kepada generasi muda, khususnya pelajar sekolah rendah.

Pelan ini bertujuan untuk memupuk minat dan pengetahuan anak-anak terhadap teknologi dron sejak usia muda, sekali gus menyediakan mereka untuk berperanan dalam bidang teknologi masa depan yang semakin pesat berkembang.

Penyampaian hadiah pemenang SMJ Dron Tawau 2024.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Sabah Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Arif, berkata melalui inisiatif ini, pelajar akan diberi peluang untuk memahami dan menguasai teknologi yang semakin berkembang, sekaligus membina kemahiran yang relevan dengan keperluan industri masa depan.

“Dengan pendedahan awal seperti ini, kita berharap dapat membina asas pengetahuan dan kemahiran teknologi dalam kalangan generasi muda yang akan mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa depan.

“Inisiatif ini bukan sahaja menginspirasi minat terhadap teknologi tetapi juga selari dengan visi Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memperkasa pembangunan modal insan negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Program SMJ Dron Tawau Tahun 2024, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapannya kepada penjawat awam yang menyertai Program SMJ Dron Tawau untuk terus berinovasi dalam memantapkan perkhidmatan awam negeri.

“Saya berharap penjawat awam yang terlibat dalam Program SMJ Dron Tawau ini dapat menghasilkan idea-idea baru dan inovasi yang dapat mempertingkatkan lagi perkhidmatan awam di Sabah.

4. Foto kenangan bersama peserta program
Majlis Penyampaian Hadiah Program SMJ Dron Tawau Tahun 2024.

“Penggunaan teknologi dron bukan sahaja membuka peluang baru untuk kita menyelesaikan pelbagai isu, tetapi juga membolehkan kita memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif kepada rakyat,” ujarnya.

Untuk makluman, Majlis Penyampaian Hadiah Program SMJ Dron Tawau Tahun 2024 dianjurkan oleh Parlimen P.190 Tawau dan melibatkan penyertaan anak-anak pelajar dari 22 buah sekolah rendah, 10 buah sekolah menengah serta lapan buah Jabatan Kerajaan di daerah Tawau.

Tinggalkan komen anda