Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Dari Kebun, Hapsah Hasilkan 2,300 Botol Sos Nanas Sehari

By 3 November 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Sabah)

KOTA KINABALU, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Siapa sangka, percubaan awal menanam bibit nanas di rumah inap desanya, mendorong usahawan wanita Hapsah Markati, 46, memperluaskan potensi produk tani tersebut dengan menghasilkan sos nanas di bawah jenama Flores Gam.

Menyedari potensi besar ekonomi pertanian itu, beliau memanfaatkan hasil tani pekebun nanas di Kiulu yang banyak menghasilkan nanas berkualiti tinggi daripada varieti nanas Sarawak (AC2) sebagai bahan utama produk berkenaan.

Hapsah Markati menunjukkan Sos nanas Flores Gam yang hadir dalam empat perisa dan dua saiz botol.

Jelasnya, perusahaan itu mula berkembang selepas menerima sokongan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) melalui kursus dan latihan intensif yang kini membantunya menghasilkan sehingga 2,300 botol sos nanas sehari.

“LPNM membantu saya dengan memberikan saya latihan intensif selama tiga hari terutama dalam proses pembungkusan dan daripada ini saya telah membuat sedikit inovasi dengan memperkenalkan empat variasi sos nanas iaitu extra hot, sweet and sour, black pepper dan cili putih.

“Untuk tujuan pemasaran kita hadkan tarikh luput sos nanas ini sehingga dua tahun sahaja kita menggunakan buah segar, tanpa pengawet atau perasa tambahan yang penting mematuhi piawaian keselamatan makanan pihak KKM termasuk sijil MESTI,” katanya ketika ditemui di Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS), di sini pada Sabtu.

Bagi mengekalkan mutu sos nanas yang dihasilkannya sejak tahun 2019 itu, Hapsah sentiasa mendedahkan pekebun nanas dengan kaedah serta kemahiran penanaman gred nanas yang berkualiti.

“Kita menyediakan latihan cara-cara menanam nanas dengan betul dan kita mengajar mereka mengenali jenis-jenis nanas dan ini penting agar kualiti sos nanas dihasilkan konsisten dengan tahap kemanisan yang sesuai, sekali gus menggurangkan penggunaan gula di dalam sos tersebut.

Hapsah antara peserta usahawan yang membuat pameran produk di Sambutan HPPNS bertempat di SICC.

“Sekarang kita juga fokus eksport sos nanas ke negara Eropah dan mencuba pasaran di sana yang sebenarnya sudah ada sambutan yang baik.

“Selain itu sos nanas ini juga dipasarkan di bawah premis kadaiku di bawah Sri Pelancongan Sabah selain akaun e-dagangan TikTok Ratu Nanas,” ujarnya.

Memiliki perniagaan rumah inap desa di Melalap Tenom, beliau turut memanfaatkan peluang itu untuk mempromosikan sos nanas buatannya kepada pelanggan yang kebanyakkannya datang daripada negara Eropah.

Untuk makluman, Sambutan HPPNS berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) melibatkan lebih 160 jabatan, agensi dan usahawan sektor berkaitan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda