Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 4 Nov (Malasiaaktif) – Pelbagai langkah telah diambil oleh Kerajaan Malaysia MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kebajikan rakyatnya terpelihara seperti memastikan wujudnya peluang pekerjaan, peningkatan gaji dan sebagainya agar rakyat dapat hidup dalam keadaan sejahtera seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini.
“Salah satu fokus utama Ekonomi MADANI adalah bertujuan untuk menstruktur semula ekonomi agar kualiti hidup rakyat terus diangkat melalui peningkatan pemacuan ekonomi dan Malaysia kembali gah menjadi peneraju di rantau ini sebagai Harimau Asia,” kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Steven demikian ketika berucap merasmikan Program Pelaksaan Veteran MYWIRA dan Program Pembangunan Bakat Peringkat Negeri Perlis di Insitut Perindustrian Kangar (ILP), di sini semalam.
Menurutnya, melalui Veteran MyWIRA, anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dapat meningkatkan kemahiran mereka sejajar dengan permintaan pasaran pekerjaan dan peralihan ke sektor swasta.
“Inisiatif ini memberi mereka kekuatan untuk membuat sumbangan besar kepada ekonomi negara, meningkatkan peluang pekerjaan mereka dan meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan,” katanya.
Tambah Steven Sim lagi, terdapat satu program baru bakal dilaksanakan oleh HRD Corp iaitu Program Pembangunan Bakat Negeri Perlis yang diperkenalkan khas bagi pembangunan industri dan rakyat industri Perlis dan program ini juga merupakan sebahagian daripada Program Latihan MADANI (PLM) HRD Corp yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025.
“Pelaksanaan Program Pembangunan Bakat Negeri Perlis bertujuan membantu aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negeri Perlis, yang kini berada pada empat peratus, menerusi penyediaan kursus kemahiran dan keusahawanan yang memfokuskan kepada Pertanian Pintar dan TVET.
“Usaha ini juga adalah untuk menyokong usaha Kerajaan Negeri bagi menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024-2025,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Datuk Rospiagus Taha.
-ZS-