Laporan/foto: Norfaizah Adnan/Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sedang menganjurkan Festival Kraf Pesona Tekstil yang bermula 28 November lalu sehingga 8 Disember ini dari pukul 10.00 pagi sehingga 10.00 malam di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Festival bertujuan untuk mengangkat hasil sentuhan kreatif dan ketelitian tangan usahawan kraf dalam menghasilkan produk tekstil tempatan merangkumi produk batik, songket, sulaman, tekatan dan jahitan yang beridentitikan Malaysia.
Penganjuran Festival Kraf Pesona Tekstil ini adalah bersempena Sambutan Hari batik Malaysia yang diadakan pada 3 Disember setiap tahun.
Menurut salah seorang peserta festival yang juga merupakan cucu saudara Adiguru Sulaman Kelingkan, Nik Rahimah Nik Idris iaitu Nik Marhammah Nik Megat, 51 , sulaman kelingkan merupakan seni hias tekstil dengan menggunakan benang emas atau perak yang berbentuk kepingan atau pita pipih halus.
“Sulaman ini juga menggunakan jarum pipih yang diperbuat daripada emas atau tembaga.
“Sulaman kelingkan ini menghiasi selayah atau selendang yang biasanya dipakai untuk majlis-majlis tertentu dan penghasilan sulaman ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana memerlukan ketelitian yang khusus,” katanya, semalam.
Terdapat reruai jualan daripada 126 orang usahawan kraf dari seluruh Malaysia yang menampilkan pelbagai produk kraf tekstil seperti batik, songket, sulaman, tekatan dan jahitan.
Jualan Rahmah Batik turut diadakan yang merangkumi pelbagai produk batik dengan tawaran harga serendah RM100 ke bawah bagi meraikan Sambutan Hari Batik Malaysia dalam menggalakkan orang ramai membeli dan memiliki batik Malaysia.
Pelbagai pengisian aktiviti yang menarik turut disajikan kepada pengunjung seperti Demonstrasi Kraf (Sulaman Kelingkan, Sulaman Nyonya dan Sulaman Kebaya Dabung), Program Pengembangan Ilmu (Interaktif Kraf dan Fun Craft), Program Keunggulan Seni Kraf (Bicara Kraf dan Pameran Karya Agung), Pameran Institut Kraf Negara (IKN), Pameran Produk Kraf Baharu dan Persembahan Kesenian dan (penghibur jalanan).
Festival Kraf Pesona Tekstil 2024 juga membuka peluang kepada Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mempamerkan bakat dan juga hasil tangan mereka untuk dipertonton dan dijual kepada orang ramai.
-ZS-