Laporan/foto: Saiful Nizam Ibrahim (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mempelbagaikan cara pengambilan ubat melalui perkhidmatan farmasi pandu lalu di Pusat Pembekalan Ubat Susulan Setempat (PPUSS) Persiaran Tanjung, Johor Bahru yang telah beroperasi sejak tahun 2017.
Perkhidmatan yang ditawarkan dari kalangan pesakit hospital dan klinik kesihatan (KK) di negeri Johor terutama di daerah Johor Bahru yang disatukan menggunakan perkhidmatan pandu lalu di PPUSS Persiaran Tanjung iaitu Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail, Hospital Permai, KK Kempas, KK Tampoi, KK Mahmoodiah, KK Majidee, KK Masai, KK Sultan Ismail dan KK Bukit Indah.
Ketua Penolong Pengarah Kanan (Amalan & Perkembangan Farmasi) Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Mohamad Ammar Zainuddin, berkata pemberian ubat melalui kaedah pandu lalu ini dapat memberi kemudahan kepada pesakit untuk mendapatkan ubat susulan tanpa perlu hadir ke hospital serta di luar kawasan hospital.
“Perkhidmatan pandu lalu juga dapat mengurangkan kesesakan di farmasi hospital sekaligus dapat mempercepatkan pengambilan ubat bagi pesakit yang datang bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Nor Azri Abdul Malik, peniaga, 32, berkata cara pengambilan ubat melalui pandu lalu ini amat disukai kerana dapat menjimatkan masa untuk mengambil ubat tanpa perlu beratur panjang di hospital dan mencari parkir yang selalu penuh dan sesak.
Menurut Khairul Nazwan Othman, penjawat awam, 37, inisiatif ini amat berkesan kerana dapat menjimatkan kos dan masa pesakit. Beliau turut berharap agar pihak kerajaan dapat menambah lagi bilangan lokasi serta diperluaskan pengambilan ubat secara pandu lalu ini bagi mengurangkan kesesakan di kebanyakan hospital kerajaan yang ada.
“Kepada pesakit yang manu mengunakan perkhidmatan pandu lalu yang kami sediakan bolehlah terus datang ke unit farmasi hospital atau melalui layari aplikasi MyUBAT untuk maklumat lanjut,” ujar Rosalyn Chan Li Zhen, pegawai farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Johor.
-AA-