Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

KRT Daerah Rembau Capai Prestasi Cemerlang Tahun 2024

By 9 Disember 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan /foto: Malini Md Yunos/Mariawaty Mohd Din (JPNIN) 

REMBAU, 9 Dis (MalaysiaAktif) – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan meraikan dan mengiktiraf Anggota Jawatankuasa Rukun Tetangga (AJKRT) di seluruh Negeri Sembilan dalam Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Kawasan Rukun Tetangga Negeri Sembilan Tahun 2024 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan di Hotel Klana Resort, Seremban, di sini semalam.

Penerima sijil penghargaan bergambar bersama YB Tengku Zamrah, EXCO Negeri Sembilan

Menurut YB Hajah Tengku Zamrah binti Tengku Sulaiman, dalam mendepani cabaran menguruskan komuniti yang rencam, kemampuan Rukun Tetangga menggunakan pendekatan yang lebih dinamik dan strategik selari dengan keperluan komuniti dan aspirasi negara mengorak langkah bagi menganjak peranannya sebagai pemimpin, pemacu dan penggerak yang lebih efektif dalam memayungi program-program keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian yang berimpak tinggi kepada komuniti setempat.

Ahmad Ragiman dari KRT Taman Pedas Indah menerima Sijil Penghargaan Jiran Warga Emas Terbaik

KRT Daerah Rembau menunjukkan prestasi cemerlang tahun ini apabila menerima 8 sijil penghargaan di atas sumbangan jasa dan pengorbanan mereka dalam pemerkasaan komuniti.

Antara penerima terdiri daripada KRT Taman Pinggiran Pedas (KRT Terbaik, KRT Progresif dan Replika Kabin SRS), KRT Taman Pedas Perdana (Jiran Wanita Terbaik, Ketua Skuad UNITI Daerah Rembau), KRT Taman Desa Permai Kundur (SRS Terbaik, Tempat ke-2 Kempen Kibar Jalur Gemilang Negeri Sembilan), KRT Rumah Rakyat Astana Raja (Jiran Muda Terbaik) dan KRT Taman Pedas Indah (Jiran Warga Emas Terbaik) yang menerima hadiah bernilai RM1000, RM500 dan RM300 mengikut kategori masing-masing.

Menurut Pengerusi KRT Taman Pinggiran Pedas, Mohd Nazil bin Zainal, 48, majlis penghargaan kepada AJKRT ini amatlah baik bagi menyuntik semangat jawatankuasa untuk bekerja keras dalam menggerak aktiviti komuniti secara berterusan.

Beliau turut menzahirkan rasa kesyukuran menerima penghargaan KRT Terbaik serta berterima kasih kepada barisan AJK yang menjadi nadi dan tonggak utama melaksanakan program dalam komuniti.

-AA-

Tinggalkan komen anda