Laporan/foto: Noor Shameiza Abd Razak (Kota Setar)
ALOR SETAR, 2 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad turun padang melawat dan menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pumpong Alor Setar.
Dalam lawatan semalam, Dr. Dzulkefly turut meninjau segala keperluan yang disediakan dan melakukan tindakan intervensi dengan memberi sokongan moral serta psikologi bagi meringankan beban emosi mangsa banjir.
Salah seorang mangsa, Nik Umak Nik Man, 71, yang ditemui meluahkan rasa bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat dan mendapat perlindungan di PPS berkenaan.
“Hari ini rasa sedikit teruja kerana berpeluang jumpa Menteri Kesihatan. Beliau banyak memberi kata-kata semangat dan sokongan di samping bantuan barang keperluan,” ujarnya.
“Tahun ini saja, dah empat kali rumah saya dinaiki air. Tapi kali ini yang terburuk. Saya dan keluarga reda dengan ujian ini,” katanya.
Katanya, mangsa yang ditempatkan di PPS tidak diabaikan oleh pihak kerajaan.
“Banyak bantuan diberikan kerajaan persekutuan dan negeri.
“Cuma saya berasa sedikit terkilan dan sedih terkenangkan rumah dimasuki air hingga mencecah paras dada. Banyak barang tidak dapat diselamatkan. Saya dan keluarga hanya sempat bawa keluar motosikal dan kereta ke tempat yang lebih tinggi dan selamat,” katanya.
Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar Siti Zaharah Sulaiman, PPS ini menempatkan 100 buah keluarga dengan jumlah seramai 375 mangsa yang terjejas.
“Keperluan asas seperti khemah, toto, bantal, selimut, tuala serta makan minum sebanyak empat kali sehari disediakan kepada semua mangsa. Dari aspek kesihatan pula, pasukan perubatan akan membuat lawatan ke PPS setiap hari untuk memberikan rawatan dan perubatan kepada mangsa yang memerlukan.
“Jabatan Kebajikan bersama Jabatan Kesihatan Negeri juga menyediakan khidmat kaunseling dan aktiviti riadah bagi membantu dari segi sokongan pembentukan psikologi mangsa banjir,” katanya semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr. Ismuni Bohari dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah (Kesihatan Awam) Dr. Norizan Ahmad.
-ZS-