Laporan/foto: Safwanah Zulkopli
GEORGE TOWN, 2 Dis (Malaysiaaktif) – Program Pengasingan Sisa di Punca anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berlangsung meriah di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, di sini semalam berjaya menarik perhatian komuniti setempat dengan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat.
Datuk Bandar MBPP Datuk Ir. Rajendran P Anthony, berkata program ini adalah langkah strategik untuk merealisasikan visi Pulau Pinang sebagai negeri bersih, hijau dan mampan menjelang 2030.
“Inisiatif ini bukan sahaja memacu ke arah kelestarian alam, malah menjadikan bandar ini lebih mesra usia untuk kesejahteraan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Dalam ucapan perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang Lim Siew Khim, berharap inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada persekitaran yang lebih inklusif khususnya untuk warga emas.
“Kemudahan awam yang selamat, mudah diakses serta sokongan sosial yang kukuh adalah elemen penting bagi memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk semua,” ujarnya.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk kaunter khidmat nasihat oleh agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, pemeriksaan kesihatan percuma, Jualan Rahmah Madani, demonstrasi pencegahan kebakaran, pertandingan mewarna, gubahan tuala dan Mobile Legend.
Penduduk Flat PPR Jalan Sungai Nur Aishah Ismail, 32, turut menyambut baik inisiatif ini.
“Saya berharap program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya pengurusan sisa buangan harian dengan lebih bertanggungjawab,” katanya.
-ZS-