Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)/PUO
IPOH, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Politeknik Ungku Omar (PUO) mencatat sejarah baru apabila dilantik sebagai Pusat Penilaian APEL.A (PPA) Dalaman oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mulai 28 November lalu, menjadikan PUO sebagai institusi pertama di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang memperoleh status ini.
PUO dalam satu kenyataan, berkata APEL.A, singkatan bagi Accreditation of Prior Experiential Learning (Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu), adalah satu proses sistematik yang melibatkan pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu untuk kemasukan ke pelbagai peringkat program pengajian di institusi pengajian tinggi.
“Ia membuka peluang kepada individu yang mempunyai pengalaman kerja tetapi tidak memiliki kelayakan akademik formal untuk melanjutkan pengajian.
“PPA PUO akan menawarkan tiga tahap penilaian APEL.A iaitu APEL T-3: kemasukan ke program Sijil (umur minimum 19 tahun); APEL T-4: kemasukan ke program Diploma (umur minimum 20 tahun) dan APEL T-6: kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda (umur minimum 21 tahun),” menurut kenyataan itu.
Kriteria asas permohonan APEL.A adalah pemohon warganegara Malaysia, mencapai umur minimum yang ditetapkan mengikut peringkat kelayakan serta mempunyai pengalaman kerja yang bersesuaian.
“Pelantikan PUO sebagai Pusat Penilaian APEL.A bertujuan menyokong hasrat negara dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi dan mempercepatkan laluan pendidikan serta kerjaya, mengiktiraf pembelajaran tidak formal dan pengalaman kerja serta mampu mengukuhkan keyakinan diri individu untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“Dengan pengiktirafan ini, PUO membuka ruang kepada masyarakat, terutama golongan pekerja yang ingin meningkatkan kelayakan akademik mereka tanpa perlu mempunyai kelayakan asas akademik secara konvensional. APEL.A menjadi jalan pintas kepada mereka yang memiliki pengalaman luas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” menurut kenyataan tersebut.
Maklumat lanjut berkenaan permohonan APEL.A PUO boleh diperolehi dengan menghubungi penyelaras APEL.A PUO (Siti Zarida) di talian 1-300-88-1969.
-ZS-