
Laporan/foto: Mohd Zahid (Johor)
KLUANG, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Kehadiran lebih 1,000 pengunjung memeriahkan Karnival Kerjaya dan Pendidikan TVET 2025 Peringkat Zon Johor anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Johor dengan kerjasama Majlis Pegawai Kaunselor (MAPEKA) Zon Johor bertempat di Kolej Vokasional Kluang, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin, berkata pelajar dan graduan memainkan peranan besar dalam memperkasakan industri TVET selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri Johor melalui Johor Talent Development Council (JTDC)
Daripada jumlah itu, seramai 456 pencari kerja ditemu duga dan 67 individu yang hadir mencari pekerjaan berjaya diterima pada peringkat awal.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Aznan Tamin, berkata program ini sebagai satu langkah strategik untuk memperkasakan kerjasama industri dan institusi TVET dengan 14 syarikat telah bersetuju bekerjasama untuk sesi penyerahan Surat Niat atau Letter of Intent (LOI) bagi pengambilan tenaga kerja dengan Kolej Vokasional Zon Johor.

Lebih 1,000 pengunjung memeriahkan Karnival Kerjaya dan Pendidikan TVET 2025 Peringkat Zon Johor anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Johor
“Penyerahan LOI ini merupakan langkah penting untuk membina hubungan kerjasama yang kukuh antara Kolej Vokasional Zon Johor dan pihak industri.
“Ia bukan sahaja bermanfaat kepada pelajar dan graduan, tetapi juga memainkan peranan besar dalam memperkasakan industri TVET selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri Johor melalui Johor Talent Development Council (JTDC),” katanya ketika ditemui wartawan selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Pendidikan TVET 2025 Peringkat Zon Johor.
Tambah Aznan, beliau yakin bahawa hubungan erat ini mampu memberi impak positif dan menyediakan peluang kerjaya yang menyeluruh untuk graduan, khususnya anak-anak Johor, melalui inisiatif sebagai pusat sehenti (one-stop center) untuk peluang pekerjaan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol Chew Chong Sin, ADUN Mahkota Syed Hussein Syed Abdullah, Pengarah PERKESO Johor Tong Sing Chuang, Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Negeri Johor Herman Raban dan Pengarah Kolej Vokasional Kluang Affandi Masturi.
-AA-