
Laporan/foto: Chan Siew Fong (Sarawak)
KUCHING, 24 Jan (MalaysiaAktif) – Bazar Jualan Tahun Baharu Cina Kenyalang 2025 dilihat mengukuhkan keharmonian pelbagai kaum apabila menerima penglibatan yang meriah daripada semua masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Ia dapat dilihat apabila penglibatan gerai pelbagai kaum dalam menjual aneka tradisional masing-masing dalam bazar perayaan ini sekali gus juga mengukuhkan keharmonian antara kaum yang telah lama terjalin secara tidak langsung.
Menurut seorang peniaga, Shamsuri, 48 tahun, yang memeriahkan bazar ini dengan menjual juadah aneka tradisional iaitu halwa kelapa muda yang juga telah menjadi juadah perayaan kegemaran dalam kalangan kaum Cina.
“Halwa kelapa muda secara tradisional ini adalah jualan pertama saya di bazar ini dan bersyukur berpeluang untuk memperkenalkan halwa kelapa muda kepada orang ramai yang mendapat sambutan pengunjung pelbagai kaum di bazar jualan Tahun Baru Cina Kenyalang ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohd Hairul, pemilik dan penjual pelbagai jenis kek lapis menyertai bazar jualan Tahun Baru Cina Kenyalang setiap tahun.
Sementara itu, bagi pemilik kek lapis, Mohd Hairul Nizam, 50 tahun, yang sudah lama menjual pelbagai jenis kek lapis di bazar tersebut berkata kek lapis amat digemari oleh kaum Cina.
“Kek lapis tradisional buatan sendiri ini adalah berasaskan madu lebah amat digemari dalam golongan kaum Cina untuk dijadikan kuih hidangan perayaan mereka, “ujarnya.
Mohd Hairul Nizam juga berbangga dapat berpeluang menyertai bazar jualan Tahun Baru Cina Kenyalang setiap tahun di samping memperkenalkan kuih tradisional kek lapis kepada semua dan juga bersama-sama berkongsi kegembiraan dalam menyambut perayaan yang menjelang tiba ini.
Bazar Jualan Tahun Baharu Cina Kenyalang 2025 telah melibatkan sebanyak 262 gerai daripada peniaga pelbagai kaum dan dibuka di Pusat Komersial Kenyalang Park pada 14 hingga 28 Januari ini.
-RJ-