
Laporan/foto: Fadzlee Ibrah (Tuaran)
TUARAN, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Menjelang musim cuti persekolahan, aktiviti berkhatan masih lagi diteruskan di kebanyakan tempat termasuk di daerah Tamparuli yang turut melibatkan anak-anak saudara baru.
Dianjurkan Pertubuhan Dapur Infaq Ummah, program Berkhatan Perdana Peringkat Daerah Kecil Tamparuli ini telah disertai seramai 100 orang kanak-kanak pelbagai peringkat umur di sekitar daerah ini.
Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JAHEINS) Daerah Kecil Tamparuli Suffian Kundu, berkata program ini juga memberi peluang kepada saudara baru melaksanakan sunnah berkhatan secara percuma.

Adik Iyyad (depan) dan adik Muhamad Badick (tengah) kelihatan bersemangat dalam program khatan tersebut.
“Melalui usaha ini, memastikan lebih ramai anak-anak khususnya golongan saudara baru dan mereka yang kurang berkemampuan, berpeluang menerima manfaat daripada program yang dilaksanakan.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi harapan baru kepada mereka yang kurang bernasib baik, tetapi juga memperkukuhkan ikatan ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, program seumpama ini akan dijadikan acara tahunan terutamanya semasa cuti persekolahan.
Sementara itu, seorang bapa peserta, Ainal Ahmad, 51, berkata program tersebut wajar diteruskan secara percuma bagi membantu lebih ramai keluarga yang kurang mampu.

Suasana program khatan Perdana Peringkat Daerah Kecil Tamparuli.
“Program ini memberi peluang kepada anak saya untuk menjalani proses berkhatan dengan cara yang lebih mudah.
“Selain ramai kawan sebaya terlibat, juga membantu keluarga yang kurang mampu mengeluarkan duit untuk khatan secara berbayar,” katanya.
Ibu peserta, Linawati Damang, 39, berasa bersyukur kerana proses pendaftaran berkhatan dipermudah walaupun dilaksanakan secara beramai-ramai.
“Selain menerima manfaat pengurangan beban kewangan, program berkhatan beramai-ramai ini sebagai satu dorongan yang membantu anak saya lebih berani untuk turut serta,” ujarnya.
Peserta, adik Iyyad A.D, 12, mengakui bahawa walaupun merasa gugup tapi dia sangat gembira kerana dapat berkongsi pengalaman dalam bersama ramai kawan.
“Walaupun saya rasa gugup pada awalnya, tapi saya sangat gembira sebab ada ramai kawan yang turut serta dalam program khatan ini.
“Kami saling menyokong jadi rasa lebih tenang,” kongsinya.
Seorang lagi peserta, adik Muhamad Badick Muhamad Madi, 6, turut berkongsi perasaan yang sama, namun tenang seketika dengan kehadiran rakan-rakan.
“Walaupun saya rasa gugup dan takut, saya tetap gembira sebab ada ramai kawan yang sama-sama melalui proses khatan ini.
“Kehadiran mereka memberi semangat dan membuatkan saya lebih berani,” ujarnya.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli Datuk Jahid Jahim.
-RJ