
Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)/PETRA
IPOH, 31 Jan (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan Lawatan Kerja ke salah satu stesen pam kumbahan yang telah siap sepenuhnya di Taman Cempaka, di sini hari ini.

Anwar diberikan taklimat mengenai Pakej 1.
Anwar diberikan taklimat mengenai Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan di Papan, Daerah Kinta, Perak (Pakej 1) yang akan dinikmati manfaatnya lebih 250,000 orang penduduk setempat.
Menerusi kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), projek ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Air dan Pembentungan (JPP) menerusi peruntukan Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe-10).
“Skop Projek Pakej 1 ini melibatkan pembinaan sistem rangkaian paip pembentungan baharu sepanjang 88 kilometer, sembilan buah stesen pam baharu, penyahtauliahan dan perobohan 149 buah loji awam serta loji premis kerajaan yang mampu menampung sehingga 500,000 orang penduduk setempat menjelang 2045.
“Projek ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah berkaitan sistem rawatan kumbahan sedia ada malah membolehkan penyambungan ke sistem rangkaian paip pembentungan daripada kawasan-kawasan pembangunan baharu,” menurut kenyatan tersebut.

Fadillah menunjukkan kerangka Pakej 1 kepada Anwar.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata loji rawatan utama yang tidak efisyen dapat ditutup dan digantikan dengan keseluruhan projek ini.
“Dengan projek ini, sudah pasti iainya bukan sahaja dapat merawat malah dapat menambahbaik kesihatan dan keselesaan penduduk kawasan ini,” ujarnya ketika ditemu ramah semasa sidang media itu tadi.
PETRA melalui JPP juga terus komited dalam menyediakan prasarana pembentungan negara yang cekap dan mampan demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
-ZS-