
Laporan/foto: Shaharuddin Daud/Khairul Nizam (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 24 Jan (MalaysiaAktif) – Bertemakan ‘Kesihatan Menghubungkan Rakyat’ program Future Health For All (FH4A) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengamit warga Komuniti MADANI Daerah Kuala Pilah dan penduduk di sekitar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Seri Menanti untuk bersama-sama mendapatkan manfaat daripada perkhidmatan yang ditawarkan.

Adnan mengunjungi reruai.
Program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hassan, di sini kelmarin turut menyatakan bahawa dasar kesihatan negara yang meliputi penggunaan teknologi digital dan komunikasi ini bakal merubah landskap kualiti kesihatan rakyat Malaysia tidak kira di bandar dan luar bandar.
“Saya berterima kasih kepada SKMM, Kementerian Komunikasi dan agensi yang berkaitan kerana menjadikan Kuala Pilah sebagai destinasi pertama selepas pelancaran program ini pada 18 Januari yang lalu.
“Malah saya yang turut berada dalam Jawatankuasa Kesihatan Parlimen melihat usaha begini akan memberikan keyakinan kepada rakyat mengenai usaha-usaha kerajaan menangani kos kesihatan dan cabaran generasi menua negara,” katanya.
Pengerusi Komuniti MADANI Gugusan Terachi Azhar Ab Rahman, menyatakan kesyukuran di atas kesudian SKMM memilih kawasan ini sebagai lokasi memperkenalkan konsep ini dalam masyarakat khususnya warga emas.

Adnan (enam dari kiri) bersama Komuniti MADANI Gugusan Terachi.
“Saya berharap program sebegini diperbanyakkan dan diperluaskan kepada semua Komuniti MADANI di seluruh negara.
“Kehadiran saya termasuk jawatankuasa Komuniti MADANI Daerah Kuala Pilah pada hari adalah sebagai tanda kebersamaan dengan semua penduduk Seri Menanti menyokong usaha penggunaan teknologi digital dalam meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat,” ujarnya.
Program juga dihadiri oleh Pengarah SKMM Negeri Sembilan Md Tahir Musa, Pengarah Penerangan Negeri Sembilan Azrul Hassan, Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Sembilan Rohana Jusoff, ketua-ketua agensi dan barisan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seri Menanti.
-ZS-