
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Denny Asip (Sarawak)
BAU, 24 Jan (MalaysiaAktif) – Program Pendaftaran Sarawak ID dan Spay Global bagi penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang berlangsung di Dewan Suarah Bau semalam telah mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat di daerah itu.
Tinjauan di lokasi mendapati seawal jam 8.00 pagi penduduk berbilang kaum sudah berada di dewan ini bagi tujuan pendaftaran tersebut.

Orang awam menyambut baik program ini apabila seawal jam 8.00 pagi mereka sudah berkumpul di Dewan Suarah Bau bagi urusan pendaftaan program ini semalam.
Bagi memberi kemudahan kepada komuniti, pihak penganjur mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan kaunter pendaftaran empat buah, kaunter perkhidmatan SKAS 15 buah, kaunter khas empat buah dan kaunter SAINS dua buah.
Program tersebut telah berlangsung selama dua hari bermula 22 sehingga 23 Januari (semalam) dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang melibatkan 80 orang sukarelawan terdiri daripada Pejabat Daerah Bau dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bertugas membantu melancarkan proses urusan pendaftaran.
Bagi Anita Abdullah, 74 tahun yang ditemui di lokasi semalam berkata beliau terima kasih kepada penganjur kerana memudahkan urusan pendafatan tersebut.

Paul Asong menyambut baik program ini ketika ditemu bual di sini semalam.
“Program dua hari ini dengan menyediakan banyak kaunter pendaftaran telah banyak membantu komuniti setempat di daerah ini,” kata Paul Asong, 63 tahun ketika membuat pendaftaran semalam.
-RJ-