Skip to main content
Berita TempatanBerita Tengah

HTPBKP 2025 Menggalakkan Aktiviti Pertanian Komuniti

By 3 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norfaizah Adnan/Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)

PUTRAJAYA, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya (HTPBKP) 2025 bertujuan untuk memberi peluang kepada komuniti Putrajaya untuk mendalami dunia pertanian bandar dan penternakan kelulut serta memperkukuhkan jaringan kerjasama antara pelbagai rakan strategik seperti Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Bio-Inovasi Negara Malaysia (NIBM).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa hasil-hasil ini boleh dikembangkan untuk memenuhi permintaan industri yang lebih besar.

Zaliha ketika melawat tanaman di Laman Dapur.

“Sebagai contoh, tebu dan cincau boleh dijadikan produk minuman premium untuk pasaran restoran dan hotel.

“Bunga kantan, serai, kunyit dan pandan pula boleh diproses menjadi minyak pati atau produk makanan organik, manakala rock melon (tembikai wangi) dan tembikai boleh dikomersialkan sebagai jus sejuk beku atau makanan kesihatan,” katanya.

Zaliha berkata demikuan ketika merasmikan HTPBKP 2025 di Laman Dapur dan Kelulut Putrajaya serta Pelancaran Pelan Induk Pertanian Bandar Putrajaya 2030 sebagai panduan strategik untuk memajukan sektor pertanian bandar, di Taman Botani, di sini kelmarin.

Acara ini berperanan mempromosikan pertanian bandar sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Madani dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 2030 serta Agenda Perbandaran Baharu (NUA).

“Menjelang Tahun Melawat Malaysia pada tahun depan, ini adalah masa yang tepat untuk kita mempromosikan Putrajaya sebagai bandar agropelancongan melalui konsep sedia ada, iaitu Bandar Dalam Taman,” katanya.

Pelbagai aktiviti termasuk jualan hasil pertanian segar dari kebun komuniti, demonstrasi pertanian bandar dan penggunaan amalan mesra alam menjadi tumpuan utama.

Selain itu, Laman Dapur dan Laman Kelulut diperkenalkan sebagai pusat pengembangan pertanian bandar dan penternakan kelulut.

Antara gerai jualan terdapat di HTPBKP 2025.

HTPBKP 2025 yang diadakan selama dua hari sehingga semalam, turut melibatkan kerjasama dengan rakan strategik seperti Yayasan Raja Zarith Sofea (YRZS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Jabatan Pertanian.

Terdapat lebih 20 gerai jualan, aktiviti dan program yang meliputi demonstrasi teknologi pertanian bandar terkini, produk hiliran serta khidmat nasihat pertanian.

Antara aktiviti menarik termasuk pertandingan memasak, pertandingan memancing, dan Langkah Ceria Kelulut yang menyusuri tasik Putrajaya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda