Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Kolaborasi NADI dan Komuniti MADANI Perkasa Masyarakat Celik IT

By 9 Februari 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Tawau)

TAWAU, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan melalui inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berusaha untuk memperkasa komuniti dengan mengetengahkan kepentingan penguasaan teknologi maklumat.

Justeru, Jabatan Penerangan (JAPEN) menganjurkan program NADI X Komuniti MADANI bertujuan untuk memperkasa komuniti dengan meningkatkan kesedaran digital, pengetahuan teknologi dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan ahli komuniti.

Hasanuddin ketika memberikan taklimat kepada ahli Komuniti MADANI.

Menurut Pengurus NADI PPR Sri Titingan Hasanuddin Mading, peranan NADI diperluas untuk memperkasa komuniti setempat melalui program-program yang lebih mampan dan relevan.

“Program ini bertujuan untuk merapatkan jurang digital, pengetahuan, dan sosio-ekonomi yang tertumpu kepada pembangunan keusahawanan, e-pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri serta memberi kesedaran mengenai penggunaan Internet dalam kalangan masyarakat setempat.

“Pelbagai aktiviti menarik telah diatur merangkumi sembang santai, ceramah, edaran bahan penerbitan, hebahan isu semasa, saringan kesihatan dan pendaftaran MyDigital ID,” ujarnya ketika ditemui pada program NADI X Komuniti MADANI di NADI PPR Sri Titingan di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Taman Millenium Hussien Yono , menyifatkan aktiviti kolaborasi antara Komuniti MADANI, JAPEN dan NADI salah satu platform untuk memperluaskan manfaat NADI kepada masyarakat.

“Program ini sangat baik kerana ia memberi peluang kepada ahli-ahli kami untuk mengenali lebih lanjut mengenai NADI dan Perkhidmatan Pintar NADI, yang pastinya memberi banyak manfaat kepada mereka.

“Saya merakamkan penghargaan kepada NADI, Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Titingan dan JAPEN Tawau atas kerjasama yang erat dalam menjayakan program ini bersama komuniti di sini,” katanya.

Ahli-Ahli komuniti Madani mengisi borang keahlian NADI disaksikan Azuary.

Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Daerah Tawau Azuary Abdul Azis, berkata program seumpama ini memberi peluang kepada setiap komuniti menjadi duta dalam kalangan masyarakat untuk mempromosi kepentingan NADI secara terperinci

“Misalnya, Komuniti MADANI Kampung Baru Batu 2 dan Taman Millenium kini mengetahui lebih lanjut apa itu NADI juga mereka berpeluang menjadi ahli.

“Selain itu, ahli juga akan mengetahui kursus serta perkhidmatan yang disediakan oleh NADI dan kemudian kota harap melalui program ini, Komuniti MADANI dapat menjadi pempengaruh kepada NADI masing-masing,” ujarnya.

NADI yang dijenamakan semula daripada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) ditubuhkan untuk menyediakan kemudahan capaian internet kepada masyarakat setempat, memberi pendedahan mengenai teknologi komputer dan internet serta membantu meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat melalui pelbagai kemudahan dan aktiviti yang disediakan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda