Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Insiden Paip Gas Meletup: Penduduk Digesa Daftar Segera di PPS – MB

By 5 April 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SHAH ALAM, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Selangor menggesa penduduk Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru segera mendaftar diri dan keluarga mereka supaya sebarang bentuk bantuan dapat disalurkan.

Menurut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mangsa yang terlibat dalam kejadian paip gas meletup pada 1 April lalu perlu berbuat demikian kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

“Mangsa sama ada menyewa atau pun mempunyai rumah tetapi masih belum pulang dari kampung kerana cuti Aidilfitri, saya menggesa supaya mendaftarkan diri dan keluarga dengan segera.

“Sama ada anda ingin menduduki PPS atau ingin mengusahakan perumahan sendiri, yang penting adalah mendaftar dengan PPS supaya tiada sesiapa yang tercicir daripada bantuan yang akan disampaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media perkembangan terkini kejadian letupan gas Putra Heights di Wisma Annexxe, di sini hari ini.

Katanya sehingga semalam, penduduk daripada 130 daripada keseluruhan 235 unit rumah telah dibenarkan pulang secara berfasa.

“Ia selepas ditentusahkan selamat oleh pihak teknikal dan telah disambung perkhidmatan utiliti seperti air dan elektrik.

“Sejak 3 April, pelbagai pihak telah menyalurkan bantuan kepada mangsa melalui PPS,” jelasnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda