
Laporan/foto: Rosli Muhammad
PASIR PUTEH, 9 Apr (MalaysiaAktif) – Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2025 peringkat Daerah Pasir Puteh telah berlangsung dengan jayanya pagi semalam di hadapan Pejabat Penggawa Daerah Bukit Awang.
Program tahunan anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan di jalan raya, khususnya ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

Perarakan masuk kenderaan agensi kerajaan yang bertugas sepanjang sambutan hari raya yang lalu.
Ia juga menjadi platform untuk meraikan para perantau yang pulang ke destinasi masing-masing selepas beberapa hari menyambut Aidilfitri di kampung halaman.
Ketua Jajahan Pasir Puteh Mohd Rosdi Ismail, berkata program ini merupakan usaha berterusan pihak berkuasa bagi menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
“Jika pada tahun lalu kita menyambut ketibaan perantau, tahun ini kita raikan mereka yang bakal kembali ke kediaman masing-masing selepas berhari raya.
“Ini adalah simbolik keprihatinan kita terhadap keselamatan mereka,” ujarnya.
Majlis pelancaran program dimulakan dengan perarakan masuk kenderaan daripada pelbagai agensi keselamatan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketua Jajahan Pasir Puteh bersama ADUN ADUN Kawasan serta tetamu jemputan sedang menyantuni pengguna jalan raya yang lalu lalang.
Sebagai sebahagian daripada kempen, sebanyak 50 buah topi keledar dan 150 beg hadiah telah diagihkan kepada para penunggang motosikal dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Nor Sham Sulaiman, ADUN Gaal Ustaz Mohd Rodzi Jaafar dan ADUN Limbongan Nor Asilah Mohd Zain, ketua-ketua jabatan kerajaan dan masyarakat setempat.
Penganjur berharap program seumpama ini dapat meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan memandu secara berhemah, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan semua selamat tiba ke destinasi masing-masing.
-ZS-