
Laporan/Foto: Priscilla Chong (Semporna)
SEMPORNA, 2 Jul (MalaysiaAktif)– Acara sukan laut tradisional yang dikenali sebagai Magtuhun Laik dan Lumba Kelleh kekal menjadi antara tarikan utama sepanjang Sambutan Regatta Lepa Semporna.
Magtuhun Laik menguji kekuatan fizikal, daya tahan dan semangat berpasukan dengan setiap peserta akan bersaing untuk menarik sebuah perahu dari kawasan air ke daratan dalam tempoh terpantas.
Pada asalnya, aktiviti itu merupakan amalan harian nelayan bagi mengelakkan perahu rosak akibat ombak dan air pasang sebelum diangkat sebagai acara sukan tradisional yang melambangkan semangat gotong-royong masyarakat pesisir pantai.
Pengunjung tempatan, Siti Noraini Abdullah, 35, berkata biarpun datang jauh daripada Kota Kinabalu beliau berpuas hati dan terhibur menyaksikan acara sukan laut yang dipertandingkan kerana memaparkan sejarah serta budaya masyarakat Bajau.
“Kita dapat melihat bagaimana aktiviti harian seperti menarik perahu dan mengendalikan sampan di laut diangkat sebagai sukan tradisional yang mempunyai nilai warisan tersendiri. Inilah keunikan Regatta Lepa yang sukar ditemui di tempat lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Fikri Jamal, 29, berkata setiap acara yang dipertandingkan sepanjang Regatta Lepa mencerminkan hubungan erat masyarakat Bajau dengan laut.
“Pertandingan ini memberi peluang kepada generasi muda dan pelancong mengenali budaya serta cara hidup masyarakat Bajau. Warisan seperti ini wajar terus dipelihara kerana menjadi lambang identiti Semporna.
“Seperti pertandingan Lumba Kelleh, perlumbaan menggunakan sampan kecil ini simbol bahawa dahulu ianya menjadi pengangkutan utama masyarakat Bajau,” ujarnya.
-RJ-







