Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kajian IMK 2026 Nilai Tahap Amalan Membaca Rakyat

By 11 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Roszilawati Nor Aziz (Sarawak)/KKKG

KUCHING, 3 Jul (MalaysiaAktif) – Kajian Awal Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) 2026 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menjadi langkah penting dalam menilai tahap dan corak amalan membaca rakyat sebagai asas pembangunan dasar pembudayaan membaca negara.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan PNM Dr. Norsharyna Shafawi berkata kajian itu bertujuan membangunkan asas pengukuran indeks menerusi penilaian menyeluruh terhadap amalan masyarakat.

PNM sedang melaksanakan Kajian Awal IMK 2026 bagi membangunkan asas pengukuran indeks membaca negara melalui penilaian menyeluruh terhadap tahap, corak, faktor dan impak amalan membaca dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika ditemui sempena pelaksanaan kajian itu di Kolej Komuniti Kuching (KKKG), di sini kelmarin.

Menurut Norsharyna, dapatan kajian berkenaan akan menjadi rujukan penting kepada pelbagai pihak dalam merancang program serta inisiatif yang lebih berkesan.

Pelaksanaan kajian di KKKG dijalankan secara bersemuka serta digital menggunakan aplikasi Google Forms melibatkan sasaran penyertaan antara 50 hingga 100 warga kolej dan pelajar dengan setiap responden hanya perlu meluangkan masa antara lima hingga 10 minit untuk melengkapkan soal selidik tersebut.

“Setiap maklum balas yang diberikan amat bernilai kerana akan membantu PNM dan kerajaan merancang dasar serta melaksanakan inisiatif pembudayaan membaca yang lebih menyeluruh dan memberi manfaat kepada masyarakat,” tambahnya.

Kajian Awal IMK 2026 berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos ini dan orang ramai diseru mengambil bahagian bagi memastikan dapatan kajian mencerminkan amalan membaca rakyat Malaysia dengan tepat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda