
Laporan/foto: Zulkifli Othman/Nor Hapi Zaini (Besut)
BESUT, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Sebanyak 21 projek pembangunan telah dan sedang dijalankan di 10 buah kampung terpilih di Mukim Hulu Besut sejak 2024, kata Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Datuk Ramzi Mansor.
“Antara projek utama ialah pembinaan pusat penempatan kekal, gelanggang futsal dan petanque serta jambatan baharu bagi memenuhi keperluan penduduk luar bandar,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Kampung Angkat MADANI, di sini kelmarin.

Ramzi menyampaikan ucapan perasmian penutup Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Batu 13, Hulu Besut, kelmarin.
Beliau berkata program amnjuran Kementerian Kewangan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Besut itu bukan sekadar menumpukan kepada pembangunan fizikal, tetapi juga pembangunan modal insan, keusahawanan dan pemerkasaan komuniti secara inklusif dan lestari.
“Ia menjadi jambatan penghubung antara kerajaan pusat dan negeri serta merapatkan jurang antara bandar dan desa,” katanya.
Sementara itu, penduduk kampung, Musriyadi Rosdi, 45, meluahkan rasa syukurnya dan berkata sudah lama menantikan pembangunan seperti itu.
“Ia amat memberi manfaat, terutamanya kepada belia dan warga emas”, ujarnya.

Lebih 400 penduduk kampung hadir memeriahkan majlis penutup, bukti sokongan padu terhadap inisiatif Kampung Angkat MADANI yang membawa aspirasi perubahan kepada komuniti.
Mewakili penduduk kampung, Musriyadi menyifatkan pembangunan berkenaan adalah suatu permulaan baharu buat mereka yang telah lama dinanti-nantikan.
Dengan kehadiran lebih 400 penduduk kampung bersama kakitangan kerajaan, suasana di situ bertukar meriah.
Majlis penutup diserikan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk gotong-royong memasak bubur asyura, pertandingan futsal dan petanque, mencerminkan semangat kebersamaan dan perpaduan komuniti setempat.
-RI





