
Laporan/foto: Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Komuniti yang selamat adalah asas kepada pembangunan wilayah yang sejahtera.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib, pembudayaan ilmu keselamatan mesti bermula dari rumah dengan anak-anak yang melihat ibu bapa mengambil berat soal keselamatan.

Penduduk kampung sedang menjalani latihan menggunakan alat pemadam api.
“Dari cara menggunakan alatan elektrik, menyimpan mancis dengan betul, hingga mengenali nombor kecemasan, mereka juga akan faham bahawa keselamatan bukan sekadar pilihan tetapi satu keutamaan dalam kehidupan seharian.
“Inilah budaya yang ingin kita terapkan iaitu budaya peduli, cakna dan bersedia yang bermula dengan langkah kecil seperti hari ini,” katanya semasa merasmikan Program Keselamatan Kebakaran: Kampung Patau-Patau 2, Komuniti Selamat, Prihatin dan Sejahtera, di sini semalam.
Jelasnya Perbadanan Labuan sentiasa menyokong penuh segala usaha yang menjurus ke arah pembentukan komuniti yang berdaya tahan, berpengetahuan dan berinisiatif.

Simulasi memadamkan kebakaran turut dijalankan di penempatan perkampungan atas air itu.
“Pembangunan sesebuah wilayah bukan hanya diukur melalui kemajuan ekonomi dan fizikal semata-mata, tetapi juga bergantung kepada tahap kesedaran, kesejahteraan hidup serta keyakinan rakyat terhadap keselamatan diri dan persekitaran mereka.
“Bincanglah bersama jiran tetangga, wujudkan pelan tindakan komuniti, kenal pasti risiko-risiko di kawasan sekitar, dan terus jalinkan hubungan baik serta komunikasi berterusan dengan agensi-agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.
Hadir sama Pengarah JBPM Labuan Abd Rahman Ali, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan S. Roslee Matusin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Patau-Patau 2 Elmy Omar.
-RI






