Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pegawai Khas Menteri Tinjau Isu Pekerja Terjejas Kebakaran Kilang

By 17 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 17 Jul (MalaysiaAktif) – Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Sumber Manusia Diccam Loures Lourdhusamy menegaskan bahawa kebajikan 80 pekerja yang terjejas akibat kebakaran sebuah kilang di Bandar Country Homes, di sini baru-baru ini akan terus dibela.

Beliau turut memberi jaminan bahawa golongan itu tidak akan dipinggirkan dan akan menerima perhatian sewajarnya daripada pihak kementerian.

Antara 80 pekerja sebuah kilang kapas yang membantah operasi kilang dipindahkan ke Subang selepas kilang di Bandar Country Homes terbakar baru-baru ini.

Katanya, kementerian memandang serius perkara itu dan telah mengambil tindakan susulan termasuk turun padang mendengar sendiri rintihan para pekerja.

“Saya difahamkan kesemua 80 pekerja yang terjejas telah dipindahkan ke Subang.

“Namun, saya juga mendapat maklumat bahawa kemudahan pengangkutan yang sebelum ini disediakan telah ditarik balik, dan kini hanya diberi elaun perjalanan sebanyak RM6,” katanya semasa sesi pertemuan bersama pekerja tersebut hari ini.

Tambahnya, ramai pekerja tinggal di kawasan sekitar dan tidak mampu menanggung kos ulang-alik ke Subang.

“Kita faham kesukaran mereka dan sebab itu menteri minta saya turun sendiri kerana kita tak mahu dengar dari mulut orang lain, kita nak lihat dan dengar sendiri,” jelasnya.

Diccam turut memaklumkan bahawa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah menerima aduan rasmi daripada pekerja dan satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

Keadaan kilang kapas yang terlibat dalam kejadian kebakaran pada 30 Jun lalu.

“Kami akan teruskan siasatan dan bincang dengan pihak majikan untuk mencari penyelesaian terbaik secara win-win situation (situasi menang-menang).

“Kami akan bela pekerja, itu janji menteri. We will take care of you (kami akan menjaga anda),” tegasnya.

Beliau turut merayu agar semua pihak bersabar sementara siasatan dijalankan.

“Kita tidak mahu ada pihak yang mengapi-apikan isu ini.

“Saya beri jaminan, tiada sesiapa yang akan dipinggirkan,” tegasnya.

Pada 30 Jun lalu, sebuah kilang kapas dilaporkan terbakar hampir 90 peratus dalam satu kejadian kebakaran pukul 10.14 pagi.

-RI

Tinggalkan komen anda