
Laporan/foto: Khairul Azad (Labuan)/JIM Labuan
LABUAN, 18 Jul (MalaysiaAktif) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan menahan sembilan pendatang tanpa izin dalam Op Mahir dan Op Sapu pada kelmari dan semalam.

OP Mahir yang menyasarkan kawasan perkilangan.
Menurut Pengarah JIM Labuan Raymond Entalai mereka yang ditahan adalah seorang warga Indonesia dan lapan warga Filipina yang dipercayai melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia.
“Kesemua mereka berumur antara lima hingga 42 tahun dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan Depot Imigresen Labuan untuk siasatan dan tindakan susulan jabatan.
“Operasi bermula pada Rabu jam 10.30 pagi sehingga Khamis pukul 3.30 pagi melibatkan 17 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasa dan Unit Quick Response Team (QRT), JIM Wilayah Persekutuan Labuan.

Penguatkuasa JIM Labuan sedang menjejak warga asing di kawasan belukar.
Tambahnya, operasi itu hasil aduan awam dan risikan awal yang dijalankan oleh Unit Aduan Risikan Operasi, Bahagian Penguatkuasa, JIM Labuan.
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
-RI





