
Laporan/foto: Faizal Nazmi
MUAR, 26 Jul (MalaysiaAktif) — “Ini masanya untuk memberi semula kepada masyarakat,”.
Itu kata Eksekutif Jualan Kopi 434, Darren Lee Ying Kai, yang berbesar hati menjadi antara penaja rasmi Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025 yang akan berlangsung di Dataran Tanjung Emas, di sini esok.

Eksekutif Jualan Kopi 434 Darren Lee Ying Kai (kanan) berbesar hati menyumbang 1,200 cawan kopi O keluarannya kepada pengunjung Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar.
Katanya, produk kopi kampung atau kopi O mereka yang berasal dari Muar dan berjaya menembusi pasaran luar termasuk Singapura, New Zealand serta Kanada itu tidak akan berada di kedudukan sekarang tanpa sokongan pelanggan mereka khususnya rakyat tempatan.
“Kopi 434 ini dicipta pada 1953 dengan nama asalnya yang lain, iaitu dari nama pengasas. Kemudian, pada 1960 kami mula guna nama 434 sebagai jenama dan logo yang sebenarnya merupakan tiga digit terakhir nombor telefon pengasas kerana kisahnya yang tersendiri.
“Pelanggan ketika itu bila nak pre-order produk kami akan call nombor telefon owner. Dari satu pelanggan ke pelanggan yang lain, mereka rujuk kopi kami sebagai 434. Ketika itu, pengasas rasa 434 itu seolah sudah ‘melekat’ dengan produk kami, maka ia didaftarkan sebagai Kopi 434,” katanya kepada MalaysiaAktif, semalam.

Petugas JAPEN menyiapkan 2,500 beg cenderahati tajaan Kopi 434 sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar.
Bercakap mengenai penajaannya pada MPBKKJG 2025, Darren berkata ia kali pertama pihaknya berkolaborasi dengan jabatan kerajaan untuk sambutan sedemikian dan sememangnya berasa bangga apabila didekati Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) berhubung perkara itu.
“Kami sudah bertapak selama lebih 70 tahun, jadi kami terpanggil untuk ambil peluang bekerjasama dengan JAPEN untuk memberi semula kepada masyarakat menerusi sambutan ini.
“Selain itu, kami juga nak bawa mesej kepada produk tempatan di luar sana untuk buat perkara sama sebab saya percaya ini salah satu cara untuk bangkitkan semangat patriotik dalam kalangan pemilik dan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Darren berkata prinsip Kopi 434 dalam perkara tersebut mudah iaitu mengambil signifikan rutin harian dari segelas cawan kopi O di meja makan baik ketika sarapan, makan tengah hari atau makan malam selain menyahut saranan pengasasnya supaya tidak sesekali melupakan pelanggan mereka.
“Saya percaya ia bantu untuk tingkatkan semangat cintakan negara kerana dari meja makan di kedai-kedai, kita boleh berkumpul macam satu keluarga tanpa lihat siapa diri kita. Kita boleh sokong peniaga dari kaum-kaum lain yang mungkin gunakan produk tempatan dalam jualan mereka.
“Ia adalah perkara kecil yang bermakna. Lagipun program kali ini dibuat di Muar, jadi lagi kuat untuk kami turut serta,” katanya yang menaja 1,200 cawan kopi O dan 2,500 beg cenderahati bernilai lebih RM40,000 pada sambutan berkenaan.

Petugas JAPEN menyiapkan 2,500 beg cenderahati tajaan Kopi 434 sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar.
Beliau berkata untuk projek seterusnya, mereka juga akan menaja cenderamata untuk sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos ini juga melalui kerjasama dengan JAPEN.
Ditanya apakah ada produk istimewa yang dihasilkan untuk sambutan kemerdekaan Malaysia kali ini, Darren berkata pihaknya merancang untuk mengadakan promosi istimewa ‘beli 1 percuma 1’ khas sebagai menghargai pembeli mereka.
Selain jualan produk paket, Kopi 434 juga mempunyai tiga buah kafe di bawah jenama sama di Selangor, Melaka selain di ibu pejabatnya, di sini.
-FN-





