
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 17 Jul (MalaysiaAktif) – Perpustakaan Desa Kampung Permatang Pasir menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat menerusi penganjuran Program Warga Emas Bersama Komuniti, kelmarin yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh nilai kebersamaan.
Program yang bermula seawal pukul 9 pagi itu membawa pelbagai pengisian bermanfaat, antaranya aspek kesihatan, keselamatan, literasi digital dan kekeluargaan seiring usaha memperkukuh jaringan sosial Komuniti MADANI.

Md Sharif berpendapat program ini memberi peluang kepada warga emas untuk terus aktif dalam masyarakat.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Bagan Samak Md Sharif Musa, program berkenaan memberi peluang kepada warga emas untuk terus aktif dalam masyarakat sambil memperkasakan peranan mereka sebagai pemangkin keharmonian komuniti.
“Pengisian seperti gotong-royong memasak bubur Asyura, pemeriksaan kesihatan dan sesi perkongsian maklumat semasa sangat dekat dengan keperluan komuniti hari ini,” katanya.
Norlela Jaafar, 51, menyambut baik usaha itu yang menurutnya sangat memberi kesan kepada golongan warga emas.
“Kami bukan sahaja diraikan, malah diberi pendedahan penting tentang jenayah penipuan dalam talian yang kerap menyasarkan orang berusia. Info seperti ini sangat berguna,” ujarnya.
Bagi Baharom Ibrahim, 63, pula program sebegitu bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama penduduk, malah menyatukan jurang antara generasi.
“Kami berpeluang bersosial, berkongsi cerita dan menjalankan aktiviti sihat bersama komuniti. Suasana macam ini memang menyenangkan,” katanya.

Dua generasi bergabung untuk bergotong-royong memasak bubur Asyura.
Turut diadakan adalah pameran dan edaran penerbitan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), perkongsian maklumat berkaitan peranan Komuniti MADANI, semakan cukai jualan, hebahan Sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan serta pengenalan kepada teknologi Chatbot AIFA sebagai saluran maklumat rasmi kerajaan.
Program diakhiri dengan edaran bubur Asyura, jamuan makan tengah hari dan sesi santai bersama wakil agensi serta komuniti tempatan.
Inisiatif terbabit membuktikan usaha menyantuni warga emas bukan sekadar penghormatan, tetapi kunci kepada komuniti yang bersatu, prihatin dan sejahtera dalam semangat MADANI.
-RI





